KABINET dalam mesyuaratnya pada 3 September lalu bersetuju supaya inisiatif FLYsiswa yang diluluskan di bawah Belanjawan 2024 dijadikan inisiatif tahunan Kementerian Pengangkutan.
FLYsiswa yang diperkenalkan pada tahun lalu merupakan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar universiti awam, politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi laluan domestik di antara Semenanjung, Sabah, Sarawak serta Labuan.
Ia turut merangkumi pelajar matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, keputusan Jemaah Menteri itu mencerminkan tekad kerajaan mengukuhkan integrasi wilayah antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan selain memupuk perpaduan kebangsaan selari dengan semangat Persekutuan Malaysia.
Beliau memberitahu, untuk tahun depan, subsidi tiket penerbangan termasuk inisiatif FlySiswa dan subsidi tiket musim perayaan telah dimasukkan ke dalam Belanjawan 2025 dengan anggaran perbelanjaan RM48 juta.
“Inisiatif ini bertujuan mengurangkan beban kewangan mahasiswa yang ingin pulang ke kampung halaman, terutamanya mereka yang tiada pilihan mod pengangkutan selain penerbangan.
“Pelaksanaan inisiatif ini telah diteruskan pada tahun ini untuk manfaat 52,030 mahasiswa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) sama ada kerajaan bercadang mengekalkan inisiatif FLYsiswa.
Anthony Loke berkata, daripada jumlah mahasiswa yang layak mendapat bantuan FLYsiswa pada tahun ini, 42.7 peratus (22,226) adalah berasal dari Sabah manakala 36.8 peratus (19,171) berasal
dari Sarawak.
Katanya, dalam kalangan mahasiswa yang berasal dari Sabah, 17,388 sedang belajar di universiti awam, politeknik dan kolej komuniti, matrikulasi dan IPG di Semenanjung, 3,433 di Sarawak dan 1,405 di Labuan.
“Untuk mahasiswa yang berasal dari Sarawak pula, 16,027 sedang belajar di Semenanjung, 2,716 di Sabah dan 428 di Labuan.
“Setakat 4 November ini, sebanyak 35,183 daripada 52,030 mahasiswa yang layak atau 68 peratus telah menebus baucar FlySiswa,” katanya.
Berkenaan keselamatan penumpang penerbangan katanya, kementerian melalui Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sentiasa memastikan pihak yang terlibat dalam industri penerbangan mematuhi piawaian yang ditetapkan International Civil Aviation Organization
(ICAO).
Katanya, perkara itu bagi memastikan keselamatan penumpang sentiasa diutamakan.
“Ia meliputi pelbagai langkah keselamatan berkaitan dengan lapangan terbang, operasi pesawat, penumpang, kargo, bagasi dan kakitangan.
“Setiap tahun CAAM akan menjalankan audit ke atas ibu pejabat pengendali udara bagi memastikan mereka mematuhi peraturan keselamatan yang ditetapkan oleh CAAM dan ICAO.
“Di samping itu, pihak CAAM juga melakukan audit keselamatan secara berkala dan secara rawak untuk menilai dan menambah baik semua aspek keselamatan mengikut peraturan sedia ada,” katanya. – WILAYAHKU