Berita

Fitch kekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada BBB+, tinjauan stabil

- Diterbit 17 Disember 2024 1:14 PM MYT

FITCH Ratings (Fitch) telah mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada BBB+ dengan tinjauan stabil.

Pemacu utama yang menyokong penarafan itu adalah momentum pertumbuhan yang kukuh dan meluas; kedudukan politik yang stabil; lebihan akaun semasa secara berterusan dengan pelaburan langsung asing yang teguh dan penurunan defisit fiskal.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia itu merupakan satu pengiktirafan terhadap kemajuan ekonomi Malaysia.

“Ia merangkumi aspirasi di bawah kerangka Ekonomi MADANI khususnya komitmen Kerajaan MADANI untuk melaksanakan pembaharuan signifikan dalam perundangan dan institusi yang menghasilkan dasar lebih jelas dan baik serta pengurusan ekonomi yang berkesan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Kementerian Kewangan (MoF) pada Selasa.

Kementerian Kewangan memberitahu, Fitch menyatakan kepastian dasar dalam negara telah bertambah baik ekoran kestabilan kerajaan yang dicerminkan oleh pengenalan pelbagai pembaharuan ekonomi termasuk pengukuhan tata kelola entiti milik kerajaan serta perundangan antara lain Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.

Perkara itu katanya, selaras dengan pandangan Tabung Kewangan Antarabangsa yang menyatakan pelaksanaan agenda pembaharuan oleh kerajaan adalah bertepatan dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan inklusif.

“Ekonomi Malaysia bekembang dengan kukuh pada 5.3 peratus bagi suku ketiga 2024 didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan prestasi sektor luar yang bertambah baik.

“Kerajaan yakin untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang teguh pada tahun 2024 yang telah disemak semula lebih tinggi dalam lingkungan 4.8 peratus dan 5.3 peratus daripada anggaran awal antara empat dan lima peratus,” katanya.

MoF menambah, kerajaan komited untuk melaksanakan konsolidasi fiskal, merapatkan jurang defisit secara beransur-ansur yang dianggarkan 4.3 peratus daripada KDNK pada 2024 kepada 3.8 peratus pada 2025.

Katanya, Belanjawan 2025 telah digubal untuk menyokong momentum pertumbuhan ekonomi, dengan unjuran pertumbuhan antara 4.5 – 5.5 peratus pada 2025.

Untuk itu jelasnya, kerajaan komited untuk meningkatkan pengurusan fiskal melalui perluasan asas hasil, penggunaan sumber yang optimum dan meneruskan rasionalisasi subsidi khususnya RON95.

“Pembaharuan struktur dan institusi juga diberi keutamaan selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI untuk mentransformasikan ekonomi, meningkatkan nilai rantaian, menggalakkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi serta meningkatkan produktiviti dan daya saing negara,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas