FILEM Abang Adik arahan Jin Ong merupakan antara filem cereka tempatan yang mendapat manfaat daripada Dana Kandungan Kreatif (DKK) sejumlah RM 16 juta diperuntukkan kerajaan untuk tahun 2024 melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Filem lakonan Wu Kang-ren dan Jack Tan itu juga berjaya mengharumkan nama negara di luar negara antaranya memenangi dua anugerah Filem Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik (Wu Kang-ren) kategori Snow Leopard di 10th Asian World Film Festival (AWFF) yang berlangsung di The Culver Theater, Los Angeles, Amerika Syarikat.
Selain DKD, filem berkenaan turut mendapat Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI).
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata Kementerian Komunikasi melalui FINAS sentiasa melaksanakan usaha berterusan untuk menaikkan industri perfileman negara ke peringkat global.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Abdul Nasir Idris di Dewan Negara yang meminta Menteri Komunikasi menyatakan apakah usaha kerajaan dalam menaikkan industri perfileman negara ke peringkat global.
“Melalui inisiatif pemasaran kandungan kreatif tempatan, FINAS juga bertindak sebagai pemudahcara dan giat mempromosikan kandungan kreatif tempatan di pasaran antarabangsa.
“Antaranya European Film Market di Jerman, Hong Kong International Film & TV Market (HK Filmart), Marche du Film dan MIPCOM di Cannes, Perancis serta Asia TV Forum & Market (ATF) di Singapura.
“Promosi pemasaran turut membabitkan syarikat produksi tempatan dan penyertaan tersebut layak mendapat insentif Market Development Grant (MDG) yang ditawarkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE),” katanya.
Menurut Nie Ching lagi, penyertaan ke festival filem antarabangsa turut diuar-uarkan di laman sesawang rasmi FINAS bagi mempermudahkan penggiat industri filem tempatan untuk mendapatkan maklumat.
FINAS juga katanya akan membantu penyertaan mereka yang berjaya terpilih oleh penganjur siri festival filem antarabangsa melalui Dana Promosi dan Penyertaan Antarabangsa (DPPA). – WILAYAHKU