KEMENTERIAN Perladangan dan Komoditi (KPK)
menyambut baik kerjasama di antara FGV Holdings Berhad (FGV) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia
(MPOB).
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) di antara FGV dan MPOB itu dapat meningkatkan kebolehkesanan serta memperkasa pekebun kecil.
“Ia akan melibatkan penggunaan teknologi canggih seperti pemetaan geolokasi, pengesahan data, rantaian blok untuk kebolehkesanan serta alat analisis data dan membuat keputusan,” katanya.
MoC bakal memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu pemerkasaan pekebun kecil, penggunaan teknologi
moden, dan kelestarian industri.
Inisiatif itu bertujuan meningkatkan produktiviti, memastikan pematuhan kepada piawaian Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan memudahkan akses ke pasaran premium.
Penerapan teknologi moden juga dijangka dapat mempertingkatkan keberkesanan pengeluaran dan pengurusan ladang, seterusnya meningkatkan daya saing industri.
Selain itu, MoC menekankan aspek kelestarian dengan memastikan pematuhan kepada piawaian global, yang mampu memperkukuh kedudukan minyak sawit Malaysia di peringkat antarabangsa.
Pendekatan menyeluruh ini memastikan masa depan industri minyak sawit yang mampan dan berdaya saing.
“KPK akan terus menyokong inisiatif seperti ini bagi memastikan industri sawit negara berkembang maju secara mampan.
“Kerjasama strategik ini diharapkan mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju pengeluaran minyak sawit yang mampan dan kompetitif di peringkat antarabangsa,” katanya.-WILAYAHKU