Berita

Festival Lentera sasar lebih 1 juta pengunjung

- Diterbit 24 Februari 2024 11:16 PM MYT

FESTIVAL Lentera: Sisiran Tasik Putrajaya 2024 yang berkonsepkan ‘Tradisi dan Cahaya’ membuka tirainya bermula malam ini sehingga 3 Mac 2024 bertempat di Anjung Floria, Presint 4,

Penganjuran festival pencahayaan edisi khas ini bersempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2024 dan Ulang Tahun Penubuhan Perbadanan Putrajaya yang ke-28 iaitu pada tanggal 1 Mac.

Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, keunikan identiti festival tersebut adalah pertunjukan pencahayaan ‘Grand Light Symphony’ dan ’Musical Fountain’ di Tasik Putrajaya.

“Ia turut dimeriahkan dengan elemen pertunjukan kebudayaan tradisional Melayu, Cina, India dan Borneo yang dibawakan oleh pasukan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta komuniti Putrajaya, selain dekorasi pencahayaan di atas air seperti pertunjukan bot-bot berhias bercahaya.

“Lebih 30 komponen dekorasi pencahayaan disajikan kepada pengunjung antaranya Lil’ Lumin’s Land, Laman Melayu, Laman China, Little India, Laman Retro, Jurassic Reverie, dan banyak lagi ” ujarnya.

Tambahnya pelbagai pengisian yang unik, menarik dan istimewa, Lentera Putrajaya menyasarkan kehadiran pengunjung seramai 1.5 juta orang.

Bermula pukul 5 petang hingga 11 malam, lebih 20 acara sampingan turut diadakan antaranya Pertandingan Kreativiti 3R, Petting Zoo, Kampung Beca, Persembahan Kebudayaan, Persembahan Band Buskers dan Paraglider Bercahaya,

Tiket masuk boleh diperolehi secara dalam talian dan di pintu masuk dengan harga RM10 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 7 hingga 12 tahun dan warga emas) manakala bagi bukan warganegara harga tiket adalah RM30 (dewasa) dan RM15 (kanak-kanak 4 hingga 12 tahun).

Bagi pemegang Kad OKU, kanak-kanak di bawah 6 tahun ke bawah (warganegara) dan 3 tahun ke bawah (bukan warganegara) tiada caj masuk dikenakan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas