KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menganjurkan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Bertanggungjawab Kepada Kebudayaan dan Kesenian (AMCA) Ke-11, Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Bertanggungjawab Kepada Kebudayaan dan Kesenian dengan Negara Rakan Dialog (AMCA+3) dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan di Melaka dari 21 hingga 26 Oktober.
Sempena penganjuran Mesyuarat AMCA ke-11 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan, MOTAC menganjurkan Festival Kesenian ASEAN (AFA) yang diselaraskan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka.
“Festival ini menampilkan penyertaan kumpulan kebudayaan dari negara anggota ASEAN serta negara Rakan Dialog, Jepun, dan negara pemerhati, Timor Leste.
“Majlis makan malam gala menjadi platform penting untuk mempersembahkan kolaborasi antara semua negara, menjadikan AFA bukan sahaja sebuah festival seni, tetapi juga jambatan budaya yang mengeratkan hubungan antara negara-negara ASEAN.
“Majlis ini membabitkan 73 artis budaya tari daripada Sembilan negara ASEAN – Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Myanmar, Singapura, Thailand, dan Vietnam, serta penyanyi jemputan dari Jepun dan Timor Leste,” ujar JKKN dalam satu kenyataan.
Wakil tanah air membawakan persembahan muzikal berjudul Pengembaraan LIMA Bersaudara.
Persembahan yang merangkumi elemen tarian, lakonan, nyanyian, dan muzik, dengan tema pengembaraan itu menampilkan watak Hang Tuah dan Lima
AFA merupakan inisiatif hebat untuk mempamerkan kepelbagaian budaya dan seni negara-negara ASEAN+3.
Setiap kumpulan kesenian ASEAN diberi peluang mempersembahkan kesenian dari negara masing-masing.
Festival ini bukan sahaja menyediakan platform untuk menunjukkan identiti budaya, tetapi juga mempromosikan kerjasama dan pemahaman antara negara.
Koreografi komprehensif yang ditampilkan menggambarkan kronologi sejarah dan budaya ASEAN, menjadikannya tumpuan yang menarik.
Ianya menggabungkan elemen penyatuan dari setiap wakil negara, dan berpotensi menjadi satu pengalaman yang sangat memikat dan penuh makna.
Pelbagai genre, dari tradisional hingga kontemporari, memastikan setiap negara dapat mengekspresikan keunikan mereka sambil merayakan kesatuan dalam kepelbagaian. – WILAYAHKU