Oleh ZULKIFLI SULONG
MINGGU lalu, selesai Pilihan Raya Kecil (PRK) yang ke-12 buat negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 lalu. Sehingga kini, lapan PRK telah dimenangi parti-parti dari Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala empat lagi dimenangi Perikatan Nasional (PN).
PRK Mahkota di Johor sangat menarik. Ia adalah gambaran yang paling ideal jika Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bergabung melawan PN.
Berdasarkan data pilihan raya kali ini, undi yang diperolehi oleh PH + BN dalam PRN 2022 lalu adalah sama dengan jumlah undi yang diperolehi oleh BN dalam PRK kali ini.
Dalam PRN 2022, PH mendapat 17 peratus (%) undi (11,445) manakala BN mendapat 25% undi (16,611). Jumlah apabila kedua-duanya dicampur adalah 42% dari jumlah undi keseluruhan.
Minggu lepas, ketika PRK Mahkota, jumlah peratusan undi yang diperolehi oleh BN juga adalah 42%. Ia benar-benar melambangkan jumlah undi antara BN dan PH. Ini bermakna berlaku dengan jelas perpindahan undi (tranfer of vote) dalam kalangan BN dan PH.
Fenomena ini sebenarnya melambangkan kesepaduan dan kesepakatan antara BN dan PH. Ia ditunjukkan melalui kerjasama antara jentera PH dan BN ketika kempen dan hasilnya ditunjukkan dalam kotak undi oleh penyokong masing-masing.
Inilah sebenarnya yang sangat ditakuti oleh parti pembangkang PN. Jika fenomena dari Mahkota ini berjalan ke seluruh negara dan ia kekal sehingga PRU-16 nanti, nescaya PN bakal kehilangan hampir separuh dari kerusi yang dimenanginya pada PRU-15 lalu.
Dari 74 kerusi parlimen yang dimenangi PN dalam PRU-15, mereka akan kehilangan sekurang-kurangnya 32 kerusi termasuk kerusi Pagoh yang dimenangi pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kehilangan ini adalah 43% dari jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi PN.
Di Pagoh, Muhyiddin mendapat 24,986 undi manakala PH + BN pula akan menjadi 29,405 undi. Ini bermakna, BN + PH akan menang dengan majoriti 4,419 undi di Pagoh jika fenomena Mahkota berlaku di Pagoh dan ia sukar untuk ditolak.
Negeri yang paling banyak berlaku fenomena ini adalah Perak (8 kerusi), Pahang (7 kerusi), Selangor (6 kerusi), Melaka (3 kerusi), Pulau Pinang (3 kerusi) dan Melaka (3 kerusi).
Bagi saya, fenomena Mahkota ini akan berulang dengan jelas di Johor dan Melaka. Namun di negeri-negeri lain, ia akan berlaku dengan bersyarat.
Syarat yang paling utama adalah kesepaduan dan semangat mempertahankan perpaduan yang kini terjalin erat dalam kalangan pimpinan utama dan rakyat bawahan dipertahan dan dikekalkan.
Untuk membolehkan perkara ini berjalan dengan baik, pemimpin seperti Ketua Pemuda UMNO, Akmal Salleh; Ketua Umno Bahagian Pulai, Nur Jazlan dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim perlu didisiplinkan oleh parti masing-masing.
Yang paling ketara dalam kalangan ketiga-tiganya adalah Akmal Salleh. Saya secara pribadi sangat bimbang apabila Akmal berbalas serangan dengan Teresa Kok menjelang PRK Mahkota baru-baru ini.
Sikap besar hati pemimpin DAP mempertahankan perpaduan telah menyebabkan kerenah Akmal Salleh tidak memberikan kesan kepada pengundi Mahkota.
Bayangkan jika DAP mengambil hati dengan kecaman dan label ‘nyonya tua’ dan ‘tidak halal’ yang diberikan oleh Akmal kepada Naib Pengerusi mereka. Mereka akan membuat tidak kesah sahaja dengan PRK ini dan membiarkan jentera BN berhempas pulas untuk memenangi hati pengundi Mahkota.
Saya diberitahu, antara kesungguhan DAP adalah usaha mereka memastikan pengundi mereka yang bekerja di Singapura pulang untuk mengundi di Mahkota Sabtu lepas.
DAP telah menyediakan 15 buah kenderaan pelbagai guna (MPV) untuk membawa pulang dan menghantar semula pengundi mereka ke Singapura pada hari tersebut. Ini adalah satu usaha dan kesungguhan luar biasa yang ditunjukkan oleh pemimpin DAP pimpinan Anthony Loke ini.
Saya diberitahu, Akmal mempunyai motif yang jelas dengan tindak tanduk yang beliau tunjukkan. Beliau sentiasa menyerang DAP yang menjadi gabungan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan untuk memberikan neratif bahawa tindakan UMNO pimpinan Tan Sri Zahid Hamidi bekerjasama dengan PH ini adalah silap dan perlu ditolak oleh ahli UMNO.
Beliau mahu memberikan gambaran, UMNO sepatutnya bekerjasama dengan PAS. Sebab itu, beliau jarang benar menyerang PAS apatah lagi rakan pemuda beliau dari PAS. Pernahkah kita jumpa Akmal menyerang Afnan Hamimi. Setahu saya tidak pernah.
Saya diberitahu, Akmal sebenarnya bekerja untuk bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Hishamuddin Hussain dan bekas wanita pertama (Flom) yang menjadi antara punca kejatuhan Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor.
Jika benarlah cerita ini, bermakna tidak peliklah naratif yang dibawa oleh Akmal adalah menekan Zahid dan mempromokan naratif yang dibawa oleh PN bahawa UMNO sekarang tenggelam dalam kerjasama dengan DAP iaitu gelaran UMDAP.
Saya juga diberitahu, Nur Jazlan juga ada cerita tersendiri apabila mengeluarkan kenyataan meminta PH memohon maaf kepada UMNO selepas pimpinan PH bertungkus lumus memenangkan calon BN dari UMNO dalam PRK Mahkota. Namun saya serahkan perkara ini diuruskan oleh UMNO sendiri.
Posisi yang berbeza diambil oleh ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim. Hassan banyak menghalakan serangan kepada pimpinan PH khasnya PKR sendiri. Beliau jarang menyerang BN.
Bagi sesetengah pihak, sikap Hassan ini lebih kepada isu ‘kurang kasih sayang’ manakala sesetengah pihak yang lain pula meletakkan sikap Hassan ini adalah kerana ‘root’ perjuangan beliau adalah Parti Rakyat yang berideologikan sosialis itu.
Pendek kata, simptom yang ada dalam Kerajaan Perpaduan ini perlu diuruskan sebaik mungkin agar ia tidak merebak dan menjadi luar kawalan.
Jika ia diuruskan dengan baik, ditambah pula dengan kejayaan membangunkan ekonomi negara, fenomena Mahkota akan berlaku di seluruh negara dan Kerajaan MADANI ini akan kekal sampai bila-bila sebagaimana yang diramalkan oleh pemimpin politik veteran Lim Kit Siang beberapa hari lalu.
Ini sekadar pandangan dari penulis berdasarkan apa yang ada sekarang bukan untuk menghina atau memperlecehkan sesiapa.