PELAKON Nur Fazura mendapat hak penjagaan sepenuhnya ke atas anak tunggal mereka Nur Fatima Aisya, 4, manakala bekas suaminya, Fattah Amin diberikan hak lawatan tiga kali seminggu serta hak untuk bermalam dua kali sebulan.
Peguam yang mewakili Fattah, Syamimi Ab Rahman berkata, keputusan dibuat selepas kedua-dua belah pihak bersetuju dengan terma ditetapkan.
“Untuk hak lawatan ada dua terma iaitu lawatan bermalam dan lawatan harian.
“Untuk lawatan bermalam, Fattah diberikan hak sebanyak dua kali dalam sebulan bergantung kepada kelapangan Fattah iaitu jemput Fatimah pada hari Jumaat dan pulangkan semula pada hari Ahad.
“Bagaimanapun Fattah perlu memaklumkan dua hari sebelum minggu lawatan untuk bermalam dengan Fatimah. Bagi lawatan harian dan tanpa bermalam, Fattah dibenarkan untuk meluangkan masa bersama Fatimah sebanyak tiga kali seminggu,” kata Syamimi.
Prosiding tuntutan hadanah melibatkan Fattah dan Fazura diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam pagi tadi.
Fazura dan Fattah sah bercerai talak satu pada 7 Oktober lalu di hadapan Hakim Syarie, Abdul Malik Soleh. Pasangan itu mendirikan rumahtangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata. – WILAYAHKU