PENYANYI, Fauziah Latiff masih belum terbuka hati untuk kembali berumahtangga setelah 18 tahun memikul status sebagai ibu tunggal.
Fauziah, 55, berkata ketika ini tumpuan utamanya adalah untuk menjaga ibu yang sudah lanjut usia.
Menurut Fauziah, ibunya adalah insan paling istimewa dalam hidupnya dan dia mahu
terus menabur bakti selagi haya dikandung badan.
“Saya selesa dengan keadaan sekarang, diri sendiri pun tak terjaga macam mana nak jaga orang lain.
“Sekarang ini tanggungjawab saya untuk menjaga mak kerana dia nyawa saya.
“Rasanya nak fikir benda lain belum masanya lagi,” katanya yang ditemui selepas tampil sebagai penyanyi undangan menerusi Konsert JessC X Fauziah Latiff di Arena of Stars, di sini, malam tadi.
Penyanyi lagu Teratai Layu Di Tasik Madu itu juga berkata dia mahu memberpaiki diri dan mencari ketenangan dengan melakukan hal-hal positif.
Katanya, masih banyak perlu diperbaiki termasuk mengenali diri dan persekitaran.
“Saya memilih apa saja yang boleh buat saya untuk terus positif dan tenang. Sekarang ini, saya banyak menjaga mak kerana dia adalah nyawa saya, dia adalah segala-galanya,” katanya.
Fauziah juga berkata, fasa sekarang adalah waktu untuk dirinya lebih menghargai diri, selain meminta orang ramai untuk terus mendoakan yang terbaik buatnya.
“Kita tak tahu usia ini sampai bila, jadi ia jadi peringatan kepada diri untuk lebih menghargai.
“Jadi, kita perlu terus menghargai diri sendiri dan saya juga minta untuk doa baik-baik kerana apa sahaja boleh berlaku,” katanya lagi.
Fauziah sebelum ini pernah berkahwin dengan Syed Budriz Putra Syed Amir Zainal Abidin Jamalullail pada 1992, namun, bercerai selepas tiga tahun.
Selepas lima tahun berstatus solo, Fauziah berkahwin buat kali kedua dengan ahli perniagaan, Johan Indot di London tetapi bercerai pada 2007.
Hasil perkahwinan kedua itu, Fauziah dikurniakan dua cahaya mata lelaki Jeffri Joaquim yang ketika ini berusia 26 tahun dan Jeremy Jay, 24 tahun.
Sementara itu, kemunculan Fauziah di Konsert JessC X Fauziah Latiff, disambut dengan sorakan gemuruh peminat.
Menerusi konsert itu juga, Fauziah turut mempersembahkan lagu Dia dan Sekilas Senyumanmu.-WILAYAHKU