AKTOR Fattah Amin mengaku tidak pernah rimas apabila sering dikaitkan bercinta dengan penyanyi Amira Othman.
Dalam masa yang sama, dakwaan yang mengatakan pelakon filem Mat Kilau itu bakal berkahwin dengan Amira dalam masa terdekat, Fattah mohon doa yang terbaik.
“Doakanlah yang terbaik, insya-Allah,” jawabnya ringkas namun penuh makna.
Dakwaan Fattah dan Amira bakal mendirikan rumah tangga mula diperkatakan apabila seorang perunding perkahwinan terkenal ada bertemu pasangan itu dalam satu majlis. Fattah menegaskan bahawa tidak ada sebarang khabar gembira yang ingin dikongsikan kepada umum pada ketika ini.
“Dia adalah kenalan lama saya dan juga pengurus. Jadi sempena sambutan rumah terbuka (baru-baru ini), saya jemput mereka yang pernah atau sedang bekerjasama dengan saya untuk hadir.
“Bukan hanya dia, saya juga mengajak beberapa kenalan dan peminat untuk memeriahkan acara ini,” katanya.
Dalam pada itu, Amira juga memohon maaf jika ada pihak yang kurang selesa dengan kisahnya bersama Fattah sering menjadi bualan.
“Saya sangat menghargai peminat yang sentiasa ada saat susah dan senang. Kalau ada yang kurang selesa, saya mohon maaf, tapi saya akan sedaya upaya menjaga reputasi nama saya dengan baik kerana saya tidak membawa nama saya seorang.
“Saya sedar ada yang kurang senang, tapi saya akan cuba menjaga batas diri dan kalau ada salah silap, saya memohon maaf,” katanya.
Amira juga tidak pernah stres atau terlalu memikirkan komen negatif yang dilemparkan kepadanya. Namun pelantun lagu Hati Hati itu, menghormati setiap komen yang diberikan.
“Saya tak mampu nak memuaskan hati semua pihak. Cuma kalau ada komen yang memberikan kebaikan, saya menerimanya dengan hati terbuka.
“Tapi kalau komen itu hanya untuk membuatkan saya terkesan, saya tidak akan ambil peduli kerana saya percaya peminat ini, sebaik sahaja mereka memilih untuk menjadi peminat, mereka akan terus menyokong saat susah dan senang.
“Setiap orang ada pendapat mereka yang tersendiri. Jadi, apabila saya kerap bersama dengan Fattah untuk beberapa penampilan, mungkin ada yang kurang selesa. Ada juga yang gembira untuk mendengar dan melihat,” katanya. – WILAYAHKU