RAMADAN kali ini cukup berbeza buat pelakon Fattah Amin apabila menjalani ibadah puasa secara bersendirian tanpa insan bergelar isteri di sisi.
Pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu jujur mengakui timbul rasa sayu kerana selama tujuh tahun, ada seseorang yang mengejutkannya bangun sahur dan menyediakan juadah berbuka.
Namun kini hanya permata hatinya, Nur Fatima Aisya, 4, ibu bapa serta adik-beradik menjadi tempat dia menumpang kasih.
“Jujur memang terasa berbeza dan sayu apabila terpaksa menjalani ibadah puasa sendirian. Alhamdulillah saya masih ada keluarga, ibu ayah, Fatimah dan juga adik-beradik.
“Mereka inilah yang menjadi tulang belakang saya sekarang dan saya juga bersyukur kerana masih dapat menjalani ibadah puasa sebagai satu keluarga yang harmoni,” kata Fattah.
Fattah ditemui pada Majlis Sidang Media Drama Bersiri Bidaah yang menemui penonton bermula 6 Mac di platform Viu.
Tidak mahu terlalu melayani perasaan, aktor berusia 34 tahun itu cuba menyibukkan dirinya dengan kerja.
Sejak sah bercerai dengan aktres dan juga usahawan Nur Fazura pada Oktober tahun lalu, rezeki bekas peserta pencarian bakat Hero Remaja itu mencurah-curah.
Fattah akui sengaja menyibukkan dirinya agar tidak berada dalam fasa kesedihan berpanjangan.
Bagaimanapun dia menganggap apa yang berlaku adalah qadak dan qadar Allah serta ujian untuk menjadikannya lebih kuat.
“Betul memang saya tak nafikan sengaja sibukkan diri dengan kerja. Walaupun Ramadan kali ini amat berbeza tetapi saya kena kuat kerana apa yang terjadi sudah ditakdirkan.
“Sebagai umat Islam, saya sentiasa percaya jodoh, rezeki dan ajal semuanya sudah tertulis.
“Bila tiba masa Allah mengambilnya, kita semua kena reda dan jangan persoalkan kenapa jadi macam ini atau macam itu. Sentiasa bermuhasabah dan terima takdir yang tertulis itu dengan terbuka dan tenang,” katanya.
Fattah yang memegang watak ustaz Hambali dalam drama Bidaah arahan Pali Yahya berkata dia juga masih belum terfikir untuk berehat walaupun jadualnya padat sejak Oktober tahun lalu.
Menganggap tawaran kerja yang datang sebagai rezeki, Fattah hanya ingin melunaskan kepercayaan diberikan klien dengan baik.
“Setakat ini saya belum terfikir untuk berehat. Saya seronok dengan apa yang dilakukan sekarang.
“Kalau tengok di media sosial, memang setiap hari saya bekerja. Seperti pernah saya beritahu sebelum ini, kerja adalah ‘escapism’ untuk saya.
“Saya pun manusia biasa, walaupun saya lelaki tetapi kadang-kadang terbuai juga dengan perasaan. Bagi melupakan apa yang berlaku, saya sibukkan diri dengan bekerja,” katanya.
Fazura memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 13 September tahun lalu.
Fattah dilaporkan terkejut dengan tindakan bekas isterinya memfailkan perceraian dan hanya mengetahui perkara itu menerusi media sosial.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima. – WILAYAHKU