Berita

Fasilitator baharu dan keazaman Anwar bawa sinar baharu untuk rundingan damai Selatan Thailand

- Diterbit 21 Februari 2023 12:15 PM MYT

PELANTIKAN ketua fasilitator baharu serta keazaman yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, membawa sinar baharu untuk menjayakan dialog perdamaian di selatan Thailand ke arah yang positif – termasuk dalam rundingan damai pusingan keenam di Kuala Lumpur yang bermula hari ini.

Profesor di National War College di Washington (AS) yang juga profesor di Georgetown University, Dr Zachary Abuza berkata Anwar telah mengambil langkah bijak dengan melantik bekas ketua pasukan pertahanan Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin sebagai fasilitator baharu.

Zulkifli menggantikan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor sebgai ketua fasilitator berkuat kuasa 1 Januari.

“Sebagai bekas ketua angkatan tentera, tentera Thailand akan lebih selesa berbincang dengan Zulkifli,” katanya kepada Bernama.

Abuza berkata Anwar sangat mengambil berat tentang konflik di selatan Thailand dan sentiasa mahu melakukan ‘perkara yang betul’ untuk menyelesaikan konflik itu.

Namun, katanya kini terpulang kepada kerajaan Thailand sama ada bersetuju memberi autonomi atau pemerintahan sendiri di selatan negara itu, terutama selepas rampasan kuasa 2014, memandangkan kini pemusatan lebih kepada aspek politik negara itu.

Rundingan damai selama dua hari antara kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan, dengan kedua-dua pihak berusaha untuk menamatkan konflik berpuluh tahun yang meletus pada Januari 1994 di wilayah selatan –  Narathiwat, Yala, Pattani dan sebahagian Songkhla.

Sementara itu, pensyarah kanan di Institut Pengajian Keamanan di Penolong Universiti Prince of Songkla Prof Dr Srisompob Jitpiromsri berkata hubungan rapat Zulkifli dengan tentera Thailand akan membantu ‘mengurus dan membetulkan’ beberapa isu spesifik, terutama berkaitan gencatan senjata dan keganasan.

Beliau juga bersetuju bahawa rundingan damai harus merangkumi lebih banyak kumpulan dan pergerakan termasuk belia dan wanita.

“Oleh itu sangat penting untuk BRN menyambut mereka dengan tangan terbuka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Institut Pengajian Asia Timur Universiti Thammasat Kampus Rangsit Asst Prof Dr Chaiwat Meesanthan berkata sepanjang lawatan rasmi beliau pada 9 dan 10 Feb lepas, Anwar menyampaikan ‘mesej padu’ bahawa beliau komited dan mahu membawa perubahan positif dalam proses pendamaian di selatan Thailand.

Anwar menyatakan bahawa Malaysia tidak akan membenarkan keganasan dalam menyelesaikan konflik di selatan Thailand, selain beliau juga mahu masalah ‘defisit kepercayaan’ ditangani.

“Kenyataan ini menunjukkan Anwar tidak memihak kepada mana-mana pihak, sama ada kerajaan Thailand atau BRN yang menggunakan keganasan.

“Ini secara tidak langsung akan membuka pintu kepada kedua-dua pihak (kerajaan Thai dan BRN) untuk berbincang dengan lebih terbuka dalam mewujudkan keamanan di selatan Thailand,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Chaiwat mengakui bahawa lebih banyak kumpulan termasuk PULO harus dibawa ke meja  rundingan agar rundingan damai lebih inklusif.

Namun, ini tidak mudah kerana setiap kumpulan pergerakan mempunyai tujuan dan pendekatan yang berbeza, katanya.

Rundingan antara kerajaan dan pemberontak yang bermula pada 2013 untuk membawa keamanan terhenti berikutan rampasan kuasa tentera di Thailand setahun kemudian. Rundingan seterusnya diteruskan tanpa pihak utama termasuk BRN.

Bagaimanapun, rundingan antara kerajaan Thailand dan BRN disambung semula pada 2019 dengan kemajuan konkrit dan ketara dicapai yang memberi harapan bahawa keganasan di wilayah selatan Thailand dapat direalisasikan.

Statistik kumpulan pemantau bebas Deep South Watch menunjukkan kitaran keganasan yang berterusan di selatan Thailand yang bermula pada 2004 di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla, telah meragut lebih 7,000 nyawa setakat ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas