Selebriti

Fasa kejar populariti sudah berlalu – Amy Mastura

- Diterbit 22 Mei 2025 2:42 PM MYT

LEBIH tiga dekad dalam industri, penyanyi kelahiran program nyanyian Asia Bagus, Amy Mastura mengakui tidak terdesak untuk terus kekal relevan.

Pada usianya yang kini mencecah 53 tahun, penyanyi dan pelakon kelahiran Batu Gajah, Perak itu lebih selesa dengan kehidupan yang tenang di samping keluarga.

Katanya fasa mengejar ‘job’ nyanyian serta lakonan sudah lama berlalu.

Sebaliknya dia kini hanya mahu menikmati hidup bersama suami, Alvin Tham Suffian berserta dua puterinya.

“Alhamdulillah walaupun ‘job’ tidak lagi selebat dulu, tapi saya seronok dengan kehidupan dilalui sekarang. Lagipun saya yang memilih-milih tawaran, untuk lakonan saya tengok pada kesesuaian watak dan juga masa.

“Saya sebenarnya tak kesah bawakan apa saja watak, tapi sejak dulu saya lebih diberi kepercayaan membawakan watak komedi.

“Namun itu tidak menjadi masalah kerana saya tetap seronok apabila dipanggil berlakon,” katanya ketika ditemui di majlis rumah terbuka Rasa Rosz di IOI City Mall, baru-baru ini.

Berkongsi mengenai kerjaya nyanyian pula, Amy berkata tiada sebarang perkembangan terbaru berkait karier nyanyiannya.

Memang ada yang pernah mengajaknya untuk berkolaborasi tetapi akhirnya tiada sebarang khabar berita.

Amy yang cukup dikenali menerusi filem Puteri Impian mengakui tidak kesah jika namanya semakin dilupakan daripada industri.

Baginya, fasa mengejar populariti sudah berlalu dan banyak kejayaan sudah dikecapi sejak melangkah ke dalam industri seni selepas kemenangan di Asia Bagus pada 1993.

Malah katanya dia juga langsung tidak terasa hati jika generasi baru tidak mengenalinya.

Itu bukanlah masalah besar buatnya kerana Amy sedar ‘zaman’ sudah berlalu dan ini adalah masa mereka.

“Itu memang sudah dijangkakan dan saya hanya perlu bersedia. Saya juga tak pernah cuba untuk kejar supaya terus kekal relevan, soal relevan dan rezeki saya serahkan kepada Allah.

“Kita buat apa yang perlu saja dan jangan menyusahkan orang, apa yang penting hati kena jujur.

“Soal artis baru tak kenal saya tak jadi masalah pun, sebab saya sendiri tak mengenali mereka. Jadi tiada sebab untuk berkecil hati,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas