Berita

Farid larang Diana buat bariatrik

- Diterbit 30 Mac 2024 10:00 AM MYT

PELAKON Farid Kamil akui melarang isterinya, Diana Danielle daripada melakukan pembedahan bariatrik semata-mata untuk kurus.

Menurut pendapat  Farid, bariatrik bukan jalan selamat untuk menguruskan badan dan terdapat kaedah lain yang jauh lebih selamat.

“Saya tak benarkan sebab potong usus adalah perkara yang melampau. Kita yang buatkan diri jadi gemuk, jadi kitalah yang kena kuruskan.

“Tidak ada kaedah lain melainkan kesedaran, lagipun saya melihat lebih banyak kesan tidak baik daripada kelebihan.

“Lagipun saya pernah lihat perut rakan yang melakukannya, berlubang-lubang dan pelik apabila lihat,” katanya.

Sebelum ini, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 33, mendedahkan ada menerima tawaran melakukan kaedah itu melalui mesej langsung (DM) di instagram, namun tidak memberikan sebarang respon.

“Waktu terima DM itu, timbul pertanyaan dalam hati, teruk sangat ke badan saya? Setahu saya, hanya berisi saja.

“Walaupun ditawarkan jalani pembedahan itu secara percuma tapi tak mengapalah sebab masalah saya bukannya tak boleh turunkan berat langsung.

“Saya hanya kekurangan motivasi kerana saya suka makan dan tak suka berlapar. Bagi saya buat benda itu (bariatrik) agak keterlaluan untuk saya,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran makanan kesihatan Zenso Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Diana, berat badan ideal boleh dicapai dengan melakukan diet pemakanan dan gaya hidup sihat tanpa perlu melibatkan sebarang pembedahan.

“Bagi saya kalau kita tahu cara nak kurus, proses itu tak ambil masa lama pun. Jaga makan, selalu aktif dan cukup tidur.

“Tahan sedikit diri insyallah berat badan yang diidamkan tercapai, tapi mungkin ada orang yang jalani bariatrik sebab masalah kesihatan dan ada  juga yang mungkin nakkan jalan mudah.

“Memanglah kaedah itu dapat turunkan berat dengan cepat tapi tentu ada implikasi, lebih-lebih lagi bagi orang muda. Bila dah ‘robek’ perut,  kita tak tahu macam mana masa depan kita.

“Setiap orang mempunyai keadaan yang berbeza, kalau badan tak besar sangat masih ada jalan lebih selamat,” katanya.

 

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas