PASANGAN pelakon Farid Kamil dan Diana Danielle akhirnya sah bercerai buat kali kedua di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, pagi tadi.
Kedua-duanya meluahkan kesyukuran apabila prosiding yang sudah berlanjutan sejak tahun lalu itu akhirnya selesai secara baik.
Diana Danielle, 33, yang ditemui pemberita memberitahu dia dan Farid akan memberikan fokus untuk membesarkan dua anak, Muhammad, 12, dan Nur Aurora yang kini berusia 10 tahun.
“Alhamdulillah kita masing-masing boleh teruskan dengan fokus pada anak-anak dan fokus pada membina jalinan persahabatan yang lebih baik selepas ini.
“Apa yang penting adalah kebaikan anak-anak, tak banyak boleh saya katakan sebab segalanya dah pun selesai.
“Terima kasih kepada Farid kerana memberikan apa yang diinginkan,” kata Diana.
Sementara itu, Farid, 44, turut melafazkan kesyukuran
di atas proses pada hari ini yang berlangsung dengan mudah.
“Alhamdulillah semuanya selesai dengan baik. Anak-anak tidak ada masalah kerana seperti dipersetujui pihak ibu iaitu Diana akan menjaga mereka.
“Sampai sekarang tidak ada apa-apa masalah timbul dan saya harap yang terbaik,” katanya.
Farid dan Diana sebelum ini bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu, namun, rujuk kembali sebulan kemudian.
Diana kemudian memfailkan permohonan cerai buat kali kedua terhadap Farid pada 4 November tahun lalu.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 12 dan Nur Aurora, 10.-WILAYAHKU