Agama

Fardu kifayah pengurusan jenazah berdepan cabaran dunia moden

PENGURUSAN jenazah adalah sebagai penghormatan terakhir kepada si mati. - Gambar hiasan
- Diterbit 2 Ogos 2024 4:31 PM MYT

PENGURUSAN jenazah atau mayat merupakan satu kewajipan bagi orang yang hidup terhadap yang telah meninggal dunia. Dalam Islam, pengurusan jenazah merupakan fardu kifayah dan wajib disempurnakan sebelum jenazah itu dikebumikan.

Bahkan dalam agama lain sekalipun, pengurusan jenazah adalah sebagai penghormatan terakhir bagi orang yang hidup kepada orang yang telah mati.

Kefarduan tersebut merangkumi memandikan jenazah, mengkafankan, solat jenazah dan mengebumikan si mati. Ia dilakukan mengikut urutan dari memandikan jenazah hinggalah kepada proses pengebumian.

Bagi si mati yang bukan Islam, upacara terakhir adalah mengikut agama dan kepercayaan masing-masing namun penghormatan terakhir kepada si mati masih harus dilakukan dengan penuh rasa hormat.

Walau bagaimanapun, ada juga kes terpencil di mana orang Islam dikebumikan dengan kaedah agama lain yang jelas bertentangan dengan syarak.

Terdahulu, tular di media sosial tentang berita kematian suami pelakon dari Indonesia, Jennifer Coppen iaitu Yitta Dali Wassink. Dia dilaporkan maut dalam satu kemalangan jalan raya di Sunset Road, Kabupaten Badung, Bali.

Perkara yang menjadi perhatian ramai apabila jenazah Dali dibakar dan tidak diuruskan seperti jenazah Muslim yang lain sedangkan dia baru sahaja memeluk Islam.

Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah berkata hukum menguruskan jenazah mualaf dengan cara Islam adalah wajib.

“Hal ini kerana perbuatan tersebut termasuk dalam fardu kifayah.

“Memetik laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Imam al-Rafi’e berkata, fardu kifayah merupakan perkara kulliyyah yang berkait dengan maslahah agama dan duniawi yang dituntut oleh syarak untuk melaksanakannya,” katanya kepada Wilayahku.

Mohamad menegaskan sekiranya keluarga si mati tidak membenarkannya, maka individu yang lain bertanggungjawab melaporkan isu tersebut kepada pihak jabatan agama.

“Sekiranya seorang Islam meninggal dunia dan keluarganya tidak memeluk Islam serta enggan mengurus jenazah secara Islam, maka masyarakat Islam hendaklah melaporkan ke pejabat agama Islam.

“Ia supaya memohon perintah Mahkamah Syariah agar si mati dapat dikebumikan secara Islam,” tegasnya.

Mohamad turut menjelaskan, si mati tidak dikira berdosa terhadap perkara tersebut kerana tidak mampu untuk melakukan apa-apa.

“Individu atau si mati tidak terdaya untuk menghalang perkara tersebut daripada berlaku, maka ia tidak dikira berdosa. Setiap umat Islam akan ditempatkan dalam syurga Allah SWT dan ia hanya untuk orang beriman sahaja,” katanya.

Oleh kerana itu, menurutnya, adalah amat penting bagi masyarakat utnuk mempelajari ilmu fardu kifayah dalam memastikan bahawa keperluan asas masyarakat seperti makanan, pakaian, perumahan, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan dapat dipenuhi dengan cara yang selaras dengan ajaran Islam.

“Dengan melaksanakan fardu kifayah dalam pelbagai bidang, umat Islam dapat memperkukuh kesejahteraan ummah secara holistik. Ia merangkumi aspek rohani, fizikal, intelektual dan sosial, yang memastikan pembangunan dan kemajuan masyarakat Islam secara seimbang dan lestari.

“Ia juga menggalakkan semangat kerjasama dan tanggungjawab kolektif dalam kalangan umat Islam selain memupuk sikap saling membantu dan bertanggungjawab antara satu sama lain dalam memastikan kesejahteraan dan kemajuan masyarakat secara keseluruhan.

“Fardu kifayah membantu dalam menjaga identiti dan nilai-nilai Islam dalam masyarakat. Dengan memastikan bahawa keperluan dan aktiviti masyarakat dipenuhi mengikut prinsip-prinsip syariah, ia memelihara kesucian dan integriti cara hidup Islam dalam menghadapi cabaran-cabaran dunia moden,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas