Putrajaya

Family Fun Walk + Hiking penduduk P15-12A meriah

PROGRAM hiking pupuk gaya hidup sihat warga Putrajaya.
- Diterbit 6 Julai 2025 8:00 AM MYT

SUASANA penuh ceria dan semangat kekeluargaan mewarnai Taman Rimba Alam, Presint 15 baru-baru ini apabila lebih 80 penduduk setempat menyertai Program Family Fun Walk + Hiking anjuran Persatuan Penduduk P15-12A.

Program yang bertujuan memupuk gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan silaturahim sesama komuniti itu menarik penyertaan seramai 85 orang, terdiri daripada penduduk blok P15-12A dan P15-12B.

Acara bermula seawal pukul 7.30 pagi dengan sesi senaman ringan sebagai pemanas badan sebelum peserta memulakan cabaran mendaki laluan denai yang disusun rapi di sekitar kehijauan Taman Rimba Alam.

Selain aktiviti utama, program turut dimeriahkan dengan acara santai serta cabutan bertuah yang menambahkan lagi kemeriahan suasana.

Pengerusi Persatuan Penduduk P15-12A merangkap Ahli Jawatankuasa Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Sub Zon 5 Putrajaya, Nik Mohd Fitra Wan Jaffar berkata program seumpama ini penting dalam mewujudkan suasana kejiranan yang sihat dan harmoni.

“Kami amat berbesar hati dengan sambutan yang diberikan. Kehadiran peserta dari pelbagai latar belakang membuktikan betapa pentingnya program komuniti seperti ini dalam menyemai semangat perpaduan dan menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan penduduk,” katanya kepada Wilayahku.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta dan pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan serta menyatakan hasrat untuk meneruskan inisiatif seumpama itu secara berkala.

“Inilah antara usaha kecil yang mampu memberi impak besar dalam membina komuniti sihat dan bersatu padu di Putrajaya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas