Berita

Faizal Tahir, Glowrush mahu dikenali sebagai duo Let Zapin

- Diterbit 3 Februari 2025 1:10 PM MYT

TIDAK mahu masyarakat melupakan akar budaya dan hilang identiti diri menyebabkan penyanyi Faizal Tahir tampil dengan idea menerbitkan album berjudul Jati Diri.

Berkolaborasi dengan penerbit muda yang sedang meningkat naik, Glowrush, mereka mahu dikenali sebagai duo ‘Let Zapin’.

Bukan sekadar karya muzik biasa, duo berkenaan turut menampilkan keistimewaan sewaktu majlis sidang media pelancaran album itu semalam apabila membawakan konsep unik berasaskan kenduri kendara dan rewang.

Tema itu dipilih sebagai lambang budaya dan nilai perpaduan yang ingin diketengahkan dalam karya terbaharu mereka.

Menurut Faizal, konsep iTU dipilih kerana sangat dekat di hatinya apabila melambangkan semangat gotong-royong, perpaduan, dan kebersamaan yang semakin pudar dalam masyarakat moden.

“Konsep ini menggambarkan bahawa perkara yang baik wajar dikongsi bersama.

“Apabila kita berkumpul untuk sesuatu yang positif, kita bukan sahaja memperoleh keberkatan daripada Allah, tetapi juga memperkukuhkan semangat kasih sayang antara satu sama lain.

“Inspirasi utama saya menghasilkan album timbul apabila melihat betapa banyak jati diri kita yang semakin hilang.

“Saya mahu mengingatkan semua bahawa penting untuk kita memahami dan menghargai asal usul, budaya, dan agama kita agar kita tidak kehilangan arah,” katanya.

Album ini turut menampilkan dua figura hebat dalam industri muzik, Altimet dan Datuk M. Nasir sebagai penyanyi undangan.

Pemilihan mereka dibuat kerana pengaruh besar yang dimiliki serta kebijaksanaan dalam menyampaikan mesej bermakna melalui karya masing-masing.

Dari segi susunan muzik dan lirik, Jati Diri berbeza daripada album-album Faizal sebelum ini kerana ia lebih berakar kepada budaya dan warisan tempatan.

Faizal menekankan bahawa cabaran terbesar dalam proses rakaman adalah memastikan setiap elemen dalam album ini sejajar dengan visi dan mesej yang ingin disampaikan.

“Saya berusaha menyampaikan mesej melalui muzik yang kreatif dan kontemporari tanpa mengorbankan nilai tradisional.

“Album ini menggabungkan elemen muzik tradisional dengan sentuhan moden agar kekal relevan di hati peminat muda,” jelasnya.

Album Jati Diri boleh didengari di semua platform penstriman digital pada 7 Februari 2025. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas