Berita

Fahmi nafi kerajaan terlibat dalam laporan terhadap Mahiaddin

- Diterbit 28 Ogos 2024 6:47 PM MYT

JURUCAKAP Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil menafikan kerajaan terlibat dalam laporan yang dibuat terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin berhubung kenyataan memetik Yang di-Pertuan Agong terdahulu dalam ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri.

Menteri Komunikasi itu berkata, laporan itu sebaliknya dibuat oleh wakil Istana Pahang dan siasatan dilakukan pihak polis.

“Pihak kerajaan tak masuk campur dalam hal ini. Siasatan dilakukan oleh polis dan pendakwaan dibuat berdasarkan siasatan tersebut. Kerajaan tidak terlibat.

“Ada tohmahan dan dakwaan (terhadap kerajaan) … Sama juga macam kes menteri besar Kedah sebelum ni, (dilaporkan oleh) Istana Selangor,” katanya pada sidang media di Perbadanan Putrajaya (PPj).

Dalam pada itu, Fahmi turut mengingatkan semua pihak agar mengelak daripada membangkitkan sentimen 3R (raja, agama dan kaum), terutamanya melibatkan raja-raja.

Semalam, Mahiaddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) didakwa di Mahkamah Sesyen Gua Musang, atas pertuduhan mengeluarkan perkataan menghasut di Felda Perasu, 14 Ogos lalu.

Mahiaddin bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.

Mahiaddin disiasat mengikut Akta Hasutan susulan ceramahnya berkait 3R dalam kempen PRK Dun Nenggiri, baru-baru ini.

Polis menerima 30 laporan polis berkaitan ucapan Mahiaddin dan seramai 66 saksi diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Sebelum itu, tular di media sosial ucapan Ahli Parlimen Pagoh terbabit yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas