SALURAN berita Malaysia dicadang mempertimbangkan langkah menandatangani perjanjian komersial dengan platform media sosial berikutan kebimbangan keuntungan hasil pengiklanan semakin merosot, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata di Malaysia, perbelanjaan pengiklanan tahunan dianggarkan kira-kira RM4.5 bilion
Bagaimanapun, katanya, menurut organisasi media, kira-kira RM2.5 bilion daripada perbelanjaan pengiklanan itu kini disalurkan terus kepada platform media sosial, memintas saluran media lazim.
“Ini memberi kesan kepada banyak organisasi media. Akibatnya, kita lihat ramai wartawan berdedikasi yang telah lama berkhidmat diberhentikan, (dan ini) amat membimbangkan,” katanya pada sidang medianya.
Sementara itu, Fahmi berkata kerajaan tidak akan campur tangan buat masa ini.
Beliau menggalakkan organisasi media untuk berunding dengan platform media sosial untuk mencari penyelesaian, seperti menerusi perjanjian komersial.
“Pada tahap ini, kita tidak rasa perlu mengikut jejak langkah negara lain. Kita perlu mengorak laluan kita sendiri dan mencari keseimbangan, titik pertemuan antara organisasi media dan platform media sosial,” katanya. – WILAYAHKU