Berita

Fahami literasi digital bagi lahir masyarakat celik teknologi

KESAN buli siber adalah kekal melibatkan kesihatan mental. - Gambar hiasan
- Diterbit 26 Julai 2024 9:20 AM MYT

PENDEDAHAN kepada masyarakat mengenai kepentingan literasi digital yang menekankan adab dan etika penggunaan media sosial boleh melahirkan pengguna media sosial yang bertanggungjawab.

Pensyarah Jabatan Komunikasi Universiti Islam Antrabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Shafizan Mohamed berkata ia bagi mendidik orang ramai kepentingan serta kesan teknologi terutamanya media sosial kepada kehidupan seharian masyarakat.

Menurutnya, masyarakat wajar mempunyai kemahiran literasi digital agar lebih mendalami atau fahami tentang bagaimana mahu menggunakan media sosial.

“Pada saya, amat penting untuk mempunyai ilmu secukupnya untuk beri kepekaan serta kebijaksanaan kepada pengguna.

“Bila kita berpengetahuan atau mempunyai ilmu pengguna, maka akan lebih yakin, berprinsip serta beretika ketika menggunakan media sosial,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Tambahya lagi, adalah amat penting bagi masyarakat untuk mengambil langkah berjaga-jaga daripada mengundang anasir-anasir negatif.

Jelas Shafizan, elakkan daripada berinteraksi atau beri ruang kepada si pembuli untuk menunjukkan belang di media sosial.

“Apabila seseorang cakna mengenai perkara buli siber ini, individu atau mangsa boleh terus laporkan kepada pihak berkuasa, sekat akaun terbabit serta simpan segala bukti bagi memudahkan urusan pihak berkuasa.

“Pada masa kini, masyarakat perlu bijak berkongsi maklumat peribadi ataupun profesional ketika menggunakan media sosial, malah adalah digalakkan untuk tidak berkongsi maklumat secara berlebihan yang kelak boleh mendatangkan kemudaratan pada masa hadapan.

“Ini penting kerana kita tidak tahu siapakah ‘audience’ kita, sama ada mereka ini berniat baik atau jahat,” ujarnya.

Shafizan berkata buli siber adalah satu masalah kompleks yang memberi kesan negatif kepada masyarakat jika dibiarkan berpanjangan.

“Buli siber ini, kita tak nampak secara fizikal kerana ia berlaku di alam maya namun kesannya kepada pemangsa adalah kekal yang melibatkan kesihatan mental.

“Satu pendekatan secara holisitik bukan sahaja bergantung untuk meminda atau perketatkan undang-undang sedia ada, malah kesedaran dan pendidikan perlu diterapkan.

“Semua pihak perlu memainkan peranan, bukan sahaja menerusi kerajaan, tetapi juga institusi pendidikan, ibu bapa, pengguna media sosial juga, kita banteras gejala buli siber secara menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Shafizan menyokong sepenuhnya tindakan kerajaan yang membentuk satu pasukan khas melalui empat kementerian iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Digital, Kementerian Komunikasi dan Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) bagi meminda Kanun Keseksaan (Akta 574).

“Tindakan ini harus dipuji kerana ia menunjukkan komitmen kerajaan dalam menangani masalah buli siber secara menyeluruh yang semakin berleluasa dan memberikan kesan negatif kepada masyarakat.

“Jadi bila adanya pasukan khas, undang-undang sedia ada boleh diteliti dan diperbaharui agar lebih relevan untuk tangani isu buli siber,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas