PELAKON popular Eyka Farhana akhirnya sah bergelar isteri kepada pemain sayap Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid, dalam satu majlis akad nikah yang berlangsung secara tertutup di Boathouse By The Lake Ampang, hari ini.
Hanya dengan sekali lafaz, mereka sah bergelar pasangan suami isteri tepat pada jam 10.12 pagi tadi.
Pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Wan Sarmizi Wan Ibrahim di hadapan Jurunikah Pejabat Agama Islam Gombak, Jaslan Ali.
Pihak lelaki memberi lima dulang hantaran dan dibalas tujuh oleh pengantin perempuan.
Pada majlis itu, Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi menerima mas kahwin sebanyak RM3,200.
Majlis akad nikah yang berlangsung secara sederhana membabitkan ahli keluarga dan kenalan terdekat.
Majlis pernikahan itu turut dihadiri oleh beberapa rakan artis seperti Mimi Lana, Amelia Henderson, Yaya Zahir, Shalma Ainaa, Sophia Liana, Azira Shafinaz dan Alicia Amin yang bertindak sebagai pengiring dulang hantaran. Pasangan itu bertunang pada 4 Ogos tahun lalu selepas lima tahun menjalin hubungan cinta. – WILAYAHKU