Berita

EU ketat peraturan eksport sisa ke negara bukan EU

- Diterbit 20 Mei 2024 10:24 AM MYT

PERATURAN lebih ketat mengenai eksport sisa dari Kesatuan Eropah (EU) ke negara bukan EU berkuat kuasa pada Isnin, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Tujuan peraturan ini adalah untuk memastikan EU mengambil tanggungjawab yang lebih besar terhadap pengurusan sisanya, menurut pengumuman oleh Suruhanjaya Eropah. Sejak 2004, eksport sisa dari EU ke negara bukan EU telah meningkat sebanyak 72 peratus. Tahun lalu, jumlahnya adalah 35 juta tan.

Mulai Mei 2027, sisa hanya akan dieksport ke negara di luar Organisasi untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) jika negara tujuan secara eksplisit bersetuju dan dapat membuktikan bahawa sisa tersebut telah diproses secara mampan.

Bermula November 2026, eksport sisa plastik ke negara bukan OECD juga akan dilarang selama dua setengah tahun. Kebanyakan negara EU merupakan ahli daripada 38 anggota OECD, yang juga merangkumi Amerika Syarikat, Turkiye dan Mexico.

Peraturan baharu ini juga bertujuan untuk membantu memerangi perdagangan sisa haram, contohnya melalui peningkatan sanksi yang ditujukan kepada penjenayah sebagai pencegahan.

Menurut suruhanjaya, peraturan ini melengkapi direktif baharu mengenai jenayah alam sekitar, yang juga akan mula berkuat kuasa pada Isnin. Ini termasuk senarai kesalahan paling serius terhadap peraturan alam sekitar dan menghendaki negara ahli memastikan bahawa jenayah tersebut dianggap sebagai kesalahan jenayah di bawah undang-undang nasional mereka.

Contoh kategori kesalahan baharu yang diperkenalkan termasuk pelanggaran serius terhadap peraturan kimia atau pengambilan air secara haram.

Data dari pejabat Eurostat untuk 2022, yang paling terkini, menunjukkan bahawa kebanyakan sisa EU dihantar ke Turkiye dengan 12.4 juta tan, diikuti oleh India dengan 3.5 juta tan dan United Kingdom dengan 2 juta tan. – BERNAMA-dpa

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas