Selebriti

Ernie Zakri beri inspirasi, semangat

ERNIE ZAKRI
- Diterbit 10 November 2023 2:10 AM MYT

Oleh DEEL ANJER

PENYANYI Ernie Zakri mengakui tanggungjawab sebagai penyanyi bukanlah sekadar menghiburkan, malah lebih jauh daripada itu.

Bagi Ernie, dia selalu mengimpikan mahu memberi inspirasi kepada masyarakat terutamanya para peminatnya.

Untuk itu, Ernie kini muncul dengan album Aura yang membawa pesan tentang peneguhan diri dan sikap positif.

Ia diolah kemas khas oleh Ernie sendiri untuk memberi keyakinan kepada mereka yang berasa terluka dalam menghadapi kehidupan harian.

Ernie mengingatkan bahawa setiap yang berlaku dalam hidup ini adalah takdir yang sudah tersusun dan bertujuan memberikan kesedaran untuk menerima segala kekurangan tanpa rasa takut.

“Aura sangat istimewa kerana ia menceritakan tentang sumber kekuatan seseorang. Semua lagu dalam album ini berkisahkan nasihat, motivasi dan sumber kekuatan untuk insan yang memerlukan semangat.

“Sebagai pembuka cerita kepada album ini, lagu berjudul Masing-Masing diberi penghormatan menjadi single pertama untuk memperkenalkan Aura,” katanya.

Masing-Masing adalah sebuah lagu galau bertemakan putus cinta yang digubah dan ditulis oleh Ade dari kumpulan Govinda bersama Nabila V, menyingkap sebuah kisah tersendiri serta memeluk hati setiap yang mendengar.

“Saya dan Mas Ade berpendapat untuk menghasilkan lagu galau dengan kisah putus cinta yang sedikit berbeza.

“Masing-Masing mengisahkan pasangan yang terpaksa meneruskan kehidupan mereka dengan cara berpisah demi mencari kebahagiaan diri sendiri. Tidak semua perpisahan tentang pertengkaran atau pergaduhan.

“Ada perpisahan yang berlaku atas persetujuan kedua-dua pihak demi mencapai kebahagiaan sendiri. Saya tahu ramai rakyat Malaysia yang suka lagu galau sebegini,” katanya.

Terdahulu, pembikinan Aura membabitkan ramai komposer dan penerbit serta mengambil masa perancangan sekitar setahun kerana Ernie mempunyai beberapa permintaan khas.

“Saya yang meminta sendiri lagu daripada penulis serta pencipta yang terbabit dalam album ini. Proses rakaman kesemua lagu juga memakan waktu sekitar tiga hingga empat bulan untuk disiapkan.

“Jadi saya harap para pendengar akan dapat memahami apa yang saya cuba sampaikan di dalam album ini. Semoga ia menjadi teman buat mereka yang memerlukan semangat serta kekuatan itu,” ujarnya lagi.

Album ini menampilkan 10 buah lagu dengan pembabitan nama-nama besar industri muzik serantau seperti Aubrey Suwito, Ezra Kong, Faizal Tahir, Amylea Azizan, Rozi Sangdewi, Helen Yap, Firdaus Rahmat, John Jeeves, Ade Govinda dan beberapa orang lagi.

Aura yang sudah berada di semua platform digital pada 3 November lalu turut menampilkan suami Ernie sendiri, Syamel yang menyumbangkan lagu Jangan Hilang Percaya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas