Berita

Enam individu disiasat muat naik kandungan jelik libatkan Agong, Majlis Raja-Raja

Foto: BERNAMA
- Diterbit 11 Februari 2025 10:54 PM MYT

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melakukan siasatan ke atas enam individu dipercayai telah memuat naik kandungan berunsur palsu dan jelik melibatkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Majlis Raja-Raja di platform media sosial Facebook.

Menurut suruhanjaya itu, satu operasi pemeriksaan telah dijalankan hari ini melibatkan salah seorang suspek di Setapak, Kuala Lumpur, yang memuat naik kandungan palsu terhadap mesyuarat Majlis Raja-Raja.

“Satu unit telefon pintar dan satu unit kad sim yang berkaitan dengan kes telah disita bagi membantu siasatan. Analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti berkenaan untuk mendapatkan keterangan bagi membuktikan kes,” jelas MCMC dalam kenyataan pada Selasa.

MCMC memberitahu, selain itu, satu kes akan disiasat bersama dengan pasukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mana suspek akan diambil keterangan pada esok bersama-sama dengan USJT.

Jelasnya, operasi pemeriksaan bagi kes-kes lain pula akan dijalankan sepanjang minggu ini ke atas semua suspek di lokasi berasingan sekitar Sungai Petani, Kota Bharu, Kerian dan Teluk Intan.

Katanya, terdahulu dua notis telah dikeluarkan oleh MCMC kepada dua suspek untuk hadir memberikan keterangan bagi kandungan yang dimuat naik oleh mereka di platform media sosial Facebook.

“Siasatan menyeluruh akan dibuat dan seterusnya kes akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk keputusan selanjutnya. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Orang ramai adalah diingatkan untuk tidak menggunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk memuat naik sebarang kandungan maklumat palsu atau tidak benar, yang boleh membawa kesan serius sehingga mencetuskan panik dan kegusaran kepada masyarakat.

“Berwaspada dengan kandungan yang dimanipulasi dan sentiasa lakukan pengesahan fakta dan semak silang dengan pelbagai sumber yang dipercayai sebelum berkongsi sebarang maklumat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas