Berita

Empat projek penggantian, penyelenggaraan paip sedang dilaksanakan di Labuan

- Diterbit 18 Februari 2025 10:59 AM MYT

TERDAPAT empat projek berkaitan penggantian dan penyelenggaraan paip di bawah peruntukan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Labuan sedang dalam pembinaan dengan jumlah peruntukan RM111.131 juta.

Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), kesemua projek tersebut dijangka dapat disiapkan pada Mei ini.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Perancang Wilayah Persekutuan Labuan Ke-2 Bilangan 1 Tahun 2023 yang diadakan sempena lawatan kerjanya ke Labuan pada 7 Disember 2023.

“Mesyuarat tersebut bersetuju meluluskan peruntukan RM300 juta bagi menaik taraf infrastruktur bekalan air Labuan dengan segera.

“Dalam hubungan ini, terdapat empat projek yang telah diluluskan pada tahun lalu di bawah pelaksanaan langkah jangka pendek berjumlah RM25 juta,” jelas kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

PETRA menjawab soalan Datuk Suhaili Abdul Rahman (BEBAS-Labuan) mengenai projek penggantian paip-paip lama di Labuan selain berapa lama gangguan bekalan air akan berlarutan.

Kementerian itu memberitahu, di bawah Rolling Plan Kelima RMK12, sebanyak empat projek berkaitan penggantian dan penyelenggaraan paip berjumlah RM105 juta diluluskan sebagai penyelesaian jangka sederhana.

Selain itu katanya, pihak kementerian merancang melaksanakan projek-projek jangka panjang bagi menyelesaikan masalah bekalan air bersih di Labuan di bawah RMK13, dengan kos keseluruhan RM170 juta.

Kementerian juga jelasnya, akan melaksanakan penggantian paip di bawah Program Penggantian Paip Kritikal menerusi Program NRW Kebangsaan Pendekatan 1 Fasa 2 di seluruh Malaysia termasuk Labuan.

“Program ini diluluskan Jemaah Menteri pada Julai 2024 di bawah Cadangan Penambahbaikan Program NRW Kebangsaan yang akan dilaksanakan bermula tahun ini hingga 2030.

“Pada masa ini, kementerian serta agensi pelaksana sedang melaksanakan kerja-kerja penyelarasan untuk melaksanakan program ini selain mengadakan sesi libat urus bersama semua pihak termasuk kerajaan negeri dan agensi berkaitan.

“Ini termasuk sesi-sesi khusus dengan operator air setiap negeri yang berkaitan untuk menentukan kawasan penggantian paip kritikal serta mekanisme pelaksanaan yang sesuai di setiap negeri,” katanya.

Tambahnya, dalam tempoh pelaksanaan projek-projek penambahbaikan bekalan air di Labuan, gangguan serta penutupan bekalan air akan berlaku dari semasa ke semasa, bergantung kepada keperluan projek-projek pembaikan dan penukaran paip yang sedang dilaksanakan.

“Penutupan bekalan air ini perlu bagi membolehkan kerja-kerja penyambungan paip diselesaikan dengan lancar, demi memastikan keselesaan penduduk Labuan pada masa akan datang.

“Namun begitu Jabatan Bekalan Air Labuan (JBAL) akan mengeluarkan notis pemakluman sekurang-kurangnya lima hari lebih awal sebelum kerja-kerja pembaikan dan penukaran paip dilaksanakan bagi memastikan pengguna mendapat maklumat yang mencukupi dan dapat membuat persediaan sewajarnya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas