Berita

Empat ditahan disyaki kemuka dokumen palsu permit pekerja asing

- Diterbit 18 Jun 2025 11:00 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman empat individu termasuk dua pengarah, seorang pemilik dan seorang pengurus syarikat kerana disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan permit pekerja asing.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 24 Jun selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber, keempat-empat suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20 dan 50-an itu ditahan kira-kira pukul 4.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu pejabat SPRM.

“Kesemua suspek yang turut terdiri daripada seorang warga Bangladesh dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut dan turut menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM210,000.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek mengemukakan dokumen kontrak kerja dan Sijil Perakuan Pendaftaran CIDB yang disyaki mengandungi butir matan palsu berkaitan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) untuk pekerja-pekerja asing kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen bagi mendapatkan permit pekerja asing,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas