PAMERAN E-Mobiliti Asia (EMA) 2023 yang julung kali diadakan merupakan platform terbaik untuk komuniti perniagaan beralih daripada ‘persaingan dan kerjasama’ kepada ‘kerjasama dan penciptaan bersama penyelesaian’, demi kebaikan manusia sejagat.
Naib Presiden (Hal Ehwal Am) Persatuan Air Singapura Charles Quek hari ini berkata cabaran perubahan iklim adalah kebimbangan global dan semua pihak perlu memainkan peranan dan berkolaborasi untuk menangani isu-isu kemampanan.
“Saya berpendapat ASEAN perlu bekerjasama untuk menangani isu-isu kelestarian; ini adalah cabaran global dan kerajaan-kerajaan juga perlu bekerjasama. Terdapat banyak ketegangan antarabangsa, terutamanya berhubung Amerika Syarikat dan China, dan kemudian kita mempunyai isu-isu Selat Taiwan.
“Jadi saya rasa penting bagi negara-negara ASEAN untuk berkumpul lebih kerap untuk bekerjasama dan bersama-sama mewujudkan penyelesaian bagi menangani cabaran kelestarian dalam isu perubahan iklim, termasuk kenaikan paras laut, banjir, cuaca melampau, makanan dan akses kepada air bersih,” katanya kepada Bernama pada EMA 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Quek yang juga Ketua Pegawai Eksekutif HSL Constructor Pte Ltd berkata dengan populasi seramai 650 hingga 700 juta di ASEAN, bagaimana anggota ASEAN bekerjasama untuk menangani cabaran perubahan iklim akan menjadi kritikal kepada perkembangan ASEAN dalam tempoh 30 hingga 50 tahun akan datang.
“Saya fikir jika kita tidak menangani perkara ini secara bersama, akan berlaku ketegangan, sama ada secara sosial atau politik. Ia juga boleh merebak kepada banyak isu lain dan mewujudkan ketegangan antarabangsa. Justeru ASEAN harus menjadi platform yang baik dan saya fikir perniagaan di Asia atau di negara-negara ASEAN mesti bersatu,” katanya.
Mengenai penyertaan Singapura dalam EMA 2023, Quek berkata sebanyak 10 syarikat dibawa untuk mengetengahkan keupayaan, kepakaran dan pengalaman mereka dalam pelbagai sektor.
“Saya sebenarnya mewakili Persatuan Air Singapura dan ini kali pertama Persatuan Air Singapura menguruskan pavilion Singapura, dan kami membawa kumpulan syarikat konsortium termasuk HSL Constructor, Aquax Pte Ltd, Tigernix Pte Ltd, Pure Active Water Pte Ltd dan Novexx Pte Ltd yang telah membina kepakaran dalam bidang kelestarian untuk berkongsi keupayaan, pengalaman dan pencapaian mereka dalam kelestarian dengan komuniti perniagaan Malaysia dan antarabangsa.
“Menerusi acara ini, kami berhasrat untuk mencapai kerjasama dengan entiti seperti Persatuan Air Malaysia, SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) dan Air Selangor yang telah melawat kami semalam, di mana sudah ada beberapa pertukaran antara kami… dan hari ini kita akan berbincang lebih mendalam kerana terdapat minat terhadap beberapa teknologi dan penggunaannya di Malaysia,” katanya.
Selain mempamerkan kepakaran mereka, Quek berkata mereka juga menubuhkan Forum Perniagaan Singapura, pemadanan perniagaan-ke-perniagaan dan kerjasama perniagaan.
EMA 2023, diadakan tiga hari bermula hari ini bertujuan untuk merangsang pertumbuhan dan peluang perniagaan mampan baharu industri mobiliti termasuk kenderaan elektrik dan teknologi inovatif.
Sebanyak 150 pempamer dari pelbagai negara mempamerkan teknologi dan inovasi elektrifikasi terkini termasuk teknologi bateri dan sistem pengecasan. – BERNAMA