TIRAI penantian selama tiga dekad akhirnya bakal disingkap apabila kumpulan ikonik 90-an, Elite, mengumumkan penganjuran konsert solo pertama mereka, Elite Live’25.
Acara yang bakal melakar sejarah buat Elite itu dijadual berlangsung pada 20 September ini di Dewan Plenary, Kuala Lumpur.
Konsert itu juga bakal menjadi kemuncak perjalanan seni lima tunjang utamanya iaitu Azza, Shasha Saidin, Abby Abadi, Watie Sadali dan Linda Rafar yang kembali bersatu di atas pentas mega.
Kemunculan pada Konsert GenKRU, Mei lalu membuka pintu rezeki buat kumpulan ini sehingga beberapa penganjur menunjukkan minat menganjurkan konsert mereka.
Azza, selaku jurucakap kumpulan itu mendedahkan pilihan untuk bekerjasama dengan Icon Entertainment di bawah pimpinan Iman Tang dibuat atas dasar kepercayaan dan keikhlasan.
“Selepas GenKRU, ada beberapa penganjur lain yang bertanya. Namun profesionalisme, layanan dan kesungguhan ditunjukkan Iman kepada Elite pada konsert tempoh hari membuatkan kami tidak berfikir panjang untuk terus bersetuju dengan pelawaannya,” katanya.
Menurut Azza misi utama mereka bukanlah untuk bersaing dengan mana-mana artis, sebaliknya meraikan legasi dan menghidupkan semula nostalgia yang pernah mereka cipta bersama peminat.
Menjelang konsert sulung ini, cabaran terbesar yang dihadapi Elite semestinya terletak pada persediaan fizikal dan vokal.
Mereka bakal menjalani latihan yang intensif untuk memastikan bersedia menjelang hari konsert.
“Isu stamina memang menjadi perhatian kami, apatah lagi konsert itu dijangka berdurasi hampir dua jam. Elite bertekad untuk memberikan persembahan yang bertenaga dan penuh semangat.
“Bagi mengimbau kembali nostalgia itu, kami akan mempersembahkan gerak tari sama seperti zaman muda kami dulu,” katanya.
Bagi Linda Rafar pula, segala kerja keras itu adalah pelaburan untuk membina keyakinan diri.
“Persediaan ini bukan mudah. Kami perlu menjaga stamina, suara dan berat badan.
“Apabila semua ini berada di tahap terbaik, keyakinan untuk beraksi di hadapan peminat akan datang secara semula jadi,” jelas Linda.
Keyakinan turut disuarakan Iman Tang, yang melihat penganjuran konsert ini sebagai satu langkah yang tepat.
Iman menafikan ia adalah projek ‘tangkap muat’, sebaliknya menegaskan Elite mempunyai nilai komersial dan relevan yang tinggi untuk mengadakan konsert berskala besar. – WILAYAHKU