Berita

Elak gusar awam, jangan takutkan dengan berita tak sahih

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa ketika bertemu keluarga mangsa tanah jerlus baru-baru ini
- Diterbit 30 Ogos 2024 9:30 AM MYT

ORANG ramai tidak perlu gusar, ibu negara Malaysia iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur masih selamat untuk didiami.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata rakyat Malaysia perlu menahan keinginan berkongsi berita yang tidak disahkan menerusi platform media sosial.

Menurut Lam Thye, tidak perlu untuk menakut-nakutkan orang ramai sehingga menimbulkan kegusaran awam.

“Di dalam dunia serba moden ini, banyak maklumat-maklumat yang kurang tepat juga tersebar kepada masyarakat.

“Kita tidak boleh nak menganggap seluruh kawasan Kuala Lumpur itu tidak selamat, itu tidak betul.

“Malah agensi-agensi penguat kuasa juga mengambil langkah drastik bagi memastikan insiden tanah mendap di Jalan Masjid India tidak berulang lagi.

“Implikasi terhadap masyarakat amat besar jika menimbulkan kegusaran awam,” kata beliau kepada Wilayahku.

Baru-baru ini media melaporkan, dalam kejadian pagi 23 Ogos lalu, mangsa warga India berusia 48 tahun dikenali sebagai Vijayaletchumy dilaporkan hilang selepas menjadi mangsa tanah jerlus sedalam lapan meter di Jalan Masjid India.

Laporan kejadian itu diterima pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur pada pukul 8.22 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.

Lam Thye menambah, banyak implikasi yang boleh terjadi  khususnya buat warga kota jika maklumat bahawa Kuala Lumpur tidak selamat itu disebarkan.

“Kuala Lumpur ialah ibu negara kepada Malaysia, banyak pengoperasian ekonomi juga terdapat di Kuala Lumpur, maklumat seperti itu boleh membimbangkan masyarakat.

“Bagi pekerja yang bekerja di Kuala Lumpur, mereka akan berasa tidak selamat, jejaskan prestasi kerja kepada para peniaga pula akan mula mencari tapak lain.

“Malah lebih buruk ia juga secara tidak langsung menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara pada masa yang sama,” ujar beliau.

Lam Thye menjelaskan kejadian lubang benam (sinkhole) ini boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja, namun perlu percaya dengan langkah drastik kerajaan dalam tangani isu ini.

Beliau berkata struktur tanah berbatu kapur yang terdapat di kawasan itu mempengaruhi pergerakan air bawah tanah selain menyebabkan tanah menjadi tidak stabil dan akhirnya mengakibatkan tanah jerlus.

“Kadang-kadang kita tidak boleh menyangka bila dan di mana tanah jerlus ini akan berlaku dan impaknya pula.

“Walau bagaimanapun, kejadian sebegini bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi fenomena ini turut berlaku di negara-negara lain di seluruh dunia terutama di kawasan yang mempunyai batu kapur dan keadaan geologi tertentu,” katanya.

Tambah Lam Thye, kerajaan serta agensi-agensi penguat kuasa juga bertungkus lumus mencari langkah terbaik bagi memastikan keselamatan orang awam berada pada tahap optimum.

“Kerajaan serta agensi-agensi penguat kuasa terutamanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif jelas sedang berusaha keras tangani isu ini.

“Beliau memberi jaminan kepada warga ibu kota bahawa mereka berada dalam keadaan selamat dan boleh meneruskan rutin harian seperti biasa.

“DBKL juga telah mengaktifkan task force bersama pakar-pakar daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi meneliti secara terperinci berkenaan isu ini,” tegasnya.

Justeru itu, Lam Thye berkata adalah lebih baik buat orang awam untuk tidak berasa bimbang dan nantikan sahaja segala arahan daripada pihak berkuasa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas