PELAKON dan usahawan berjaya Zoey Rahman akui tidak mahu terikut-ikut trend mencipta publisiti dan marketing viral yang terlihat murah dan mengaibkan.
Menurut Zoey, dia lebih selesa memilih untuk mewujudkan sebuah studio yang menelan belanja hampir RM100,000.00 untuk bersiaran langsung dan berinteraksi bersama pengikut produk Luna Clara dan peminat beliau.
“Jom main masak masak sambil packing parcel . Itu idea yang terkeluar dari kotak fikiran saya sewaktu memikirkan bagaimana bentuk interaksi dan cara marketing berbeza yang perlu saya lakukan untuk ‘baby’ baru saya Luna Clara.
“Saya memilih konsep mini mart & café dengan sentuhan retro dan gabungan warna pastel sebagai daya tarikan.
“Alhamdulillah, saya bersyukur apabila ianya berjaya dan mendapat reaksi dan maklum balas yang sangat positif,” katanya.
Walaupun sudah 10 tahun menceburi bidang bisnes, Zoey akui ia bukan sesuatu yang mudah serta menuntut pengorbanan yang besar.
“Saya membuat persediaan awal buat bisnes sewaktu masih aktif dalam dunia hiburan kerana saya memikirkan apa akan jadi pada masa depan.
“Walau bagaimanapun bidang perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah. Tambahan pula corak pemasaran kini sangat berbeza sewaktu saya memulakan perniagaan dulu.
“Setiap hari akan ada sahaja pembaharuan dalam sistem online. Kalau terleka atau terlambat sikit sure kita akan ketinggalan.
“Perkara yang paling mengujakan saya apabila mendapat respon positif dan ramai yang menyangka saya menggunakan green screen, Ai dan macam-macam lagi. Sedangkan semua prop dalam studio ini adalah peralatan yang sebenar.
“Bukan itu sahaja, rata-rata daripada pengikut yang menonton live saya itu akan request dan tunggu saya mula main masak masak,” ujarnya.
Setelah Mikaseries hampir 10 tahun dalam pasaran kini tiba masanya Zoey membina satu lagi jenama baru bawah syarikat beliau iaitu Luna Clara.
Luna Clara agak berbeza kerana lebih memfokuskan kepada penjagaan badan.
“Untuk Luna Clara saya tak mahu ke depan. Tetapi biarlah ratu hati saya yang menjadi daya penarik.
“Insya Allah sikit masa lagi saya akan umumkan siapakah ratu hati saya itu,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU