MALAYSIA mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.1 peratus bagi tahun 2024, menandakan ekonomi negara berada dalam landasan kukuh berbanding 3.6 peratus pada tahun sebelumnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan bahawa pertumbuhan ini turut disertai dengan kadar inflasi yang rendah hanya 1.8 peratus dan peningkatan pelaburan dalam Growth Fixed Capital Formation (GFCF) sebanyak 12 peratus.
“Ini menunjukkan ekonomi negara stabil, dengan Bursa Malaysia mencatat peningkatan 12.9 peratus – tertinggi dalam tempoh empat tahun.
” Kesannya, dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut meningkat kepada 6.3 peratus tertinggi sejak 2017, manakala Amanah Saham Bumiputera (ASB) mencatat dividen terbaik dalam lima tahun,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) pads sesi pertanyaan Pendant Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Perdana Menteri berkata peluang pekerjaan baharu berjumlah 120,000 telah diwujudkan, menyebabkan kadar pengangguran turun kepada 3.1 peratus pada Disember 2024.
Dalam sesi sama, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa kerajaan komited dalam meningkatkan pendapatan rakyat, termasuk sektor swasta yang masih berdepan dengan isu kenaikan gaji.
“Kita telah menaikkan gaji minimum kepada RM1,700, walaupun mendapat tentangan daripada sebahagian sektor swasta. Selain itu, Skim Gaji Progresif juga diperkenalkan bagi memastikan syarikat-syarikat besar membayar gaji setimpal kepada pekerja mereka,” katanya.
Kerajaan juga menggunakan pendekatan moral suasion dengan mewajibkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Petronas, TNB, dan Telekom Malaysia menawarkan gaji lebih tinggi kepada pekerja mereka.
“Langkah ini penting bagi mengurangkan jurang antara kenaikan produktiviti dan kenaikan gaji yang masih belum seimbang,” tambahnya.
Umar Perdana Menteri, bagi mencapai sasaran Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang 2050, Kerajaan MADANI menekankan kepentingan peningkatan produktiviti yang perlu mencapai sekurang-kurangnya 5 peratus setahun.
“Kerajaan sedang giat memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain memperkenalkan bidang baru seperti Kecerdasan Buatan (AI), tenaga digital, dan teknologi hijau dalam sektor pendidikan dan latihan.
“Malaysia juga telah menarik pelaburan asing daripada syarikat global seperti NVIDIA, Google, Microsoft, dan Infineon, yang kini diwajibkan untuk mewujudkan centres of excellence bagi latihan kemahiran dan peningkatan keupayaan pekerja tempatan,” katanya. -WILAYAHKU