SURUHANJAYA Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bertindak menyita 156 fail permohonan Pas Lawatan Sosial (PLS) bagi kategori pas rawatan bagi melengkapkan siasatan terhadap pegawai Jabatan Imigresen berhubung isu salah laku.
EAIC dalam kenyataan pada Selasa memberitahu, tindakan itu dilakukan pada 1 Oktober lalu selepas hadir ke Bahagian Visa, Pas dan Permit, Jabatan Imigresen di Putrajaya.
Katanya, tindakan itu selaras dengan Seksyen 41 Akta EAIC 2009 (Akta 700).
“Sitaan tersebut dijalankan susulan aduan yang diterima berhubung dakwaan pegawai Jabatan Imigresen yang dikatakan mengeluarkan Pas Lawatan Sosial (kategori Pas Rawatan) kepada warga asing tanpa mematuhi prosedur,” katanya.
Menurut EAIC, sehubungan itu siasatan penuh sedang dijalankan ke atas aduan tersebut, selaras dengan Subseksyen 27(4) yang dibaca bersama dengan Subseksyen 26(3) Akta EAIC.
Terdahulu sebuah portal media melaporkan, beberapa pegawai Imigresen sedang disiasat selepas disyaki terlibat dalam ‘sindiket visa perubatan’ melibatkan warga asing oleh EAIC.
Siasatan tersebut melibatkan kelulusan lebih 20,000 visa perubatan yang diberikan tahun lepas melibatkan satu negeri sahaja dengan setiap ‘kepala’ dikenakan bayaran sekitar RM4,500. – WILAYAHKU