Berita

Dulu berapi-api kecam Najib habis-habisan, sekarang nak jadi ‘champion’, hipokrit: PM Anwar

Foto: Jabatan Penerangan Malaysia
- Diterbit 10 Disember 2024 1:37 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak sikap pembangkang yang secara tiba-tiba hendak menjadi juara dalam isu berkaitan Titah Adendum melibatkan Datuk Seri Najib Razak.

Malah tegas Perdana Menteri, pembangkanglah yang dahulu berhabis-habisan mengecam Najib tetapi kini hendak mencari ‘political stunt’.

“Peguam ini (Ahli Parlimen Kota Bharu), fahamkah undang-undang? Apa undang-undang kata? Tak boleh (jawab isu Titah Adendum), kalau saya pilih nak jawab, saya tak boleh jawab untuk menghormati mahkamah, tak fahamkah itu?

“Hypocrisy is (hipokrit) suddenly (tiba-tiba) dia nak jadi champion (juara) Datuk Seri Najib. Apa saudara percaya dia champion?

“Saya dengar ucapan dia (sebelum ini), berapi-api mengecam Datuk Seri Najib habis-habisan, dari rambut sampai kaki, sekarang nak jadi hipokrit untuk jamin (Najib),” katanya dalam Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai kewujudan Titah Adendum yang melibatkan permohonan pengampunan Najib.

Anwar berkata, undang-undang negara tidak membolehkan seorang Perdana Menteri mengulas dalam isu Lembaga Pengampunan sehingga diperkenankan Yang di-Pertuan Agong atau diputuskan mahkamah.

Katanya, pendengaran rayuan di Mahkamah Rayuan bagi kes Najib vs Menteri Dalam Negeri dan enam yang lain berkenaan dengan Titah Adendum telah ditetapkan pada 6 Januari 2025.

“Isu kewujudan Titah Adendum, YB (Yang Berhormat) Kota Bharu peguam yang berpengalaman tahu bahawa sekarang ini (kes) akan ditentukan oleh Mahkamah Rayuan.

“Apakah munasabah untuk kita berikan ulasan sebelum peraturan itu? Jawapannya tidak, kerana Peraturan Mesyuarat 23(1)(g) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat tidak membolehkan.

“Maka bagi kita, seperti mana yang ditetapkan oleh kenyataan Peguam Negara ialah menghormati, memberi kepercayaan kepada institusi undang-undang,” katanya.

Anwar berkata, penglibatannya hanya pada mesyuarat awal iaitu pada 8 Disember 2023.

“Dia (pengampunan Najib) tidak termasuk dalam agenda. Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu tidak memasukkan agenda permohonan pengampunan Datuk Seri Najib dalam pertimbangan Lembaga Pengampunan.

“Jadi untuk rekod, saya persembahkan kepada Tuanku (Seri Paduka), atas alasan semua rakyat atau banduan berhak membuat permohonan dan kerana kedudukan Datuk Seri Najib adalah munasabah kalau diberi pertimbangan,” katanya.

Beliau menambah, Yang di-Pertuan Agong ketika itu memberi perkenan.

“Jadi, ada 11 agenda, 10 dikemukakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang ikut proses biasa manakala agenda ke-11, Yang di-Pertuan Agong yang pengerusikan minta saya kemukakan hujah tentang rayuan pengampunan Datuk Seri Najib. Ini saya hendak jelaskan kerana saya tahu kes ini sedang dipermainkan oleh pihak-pihak tertentu.

“Jadi ini rekod dan diminitkan. Inilah satu-satu, julung kali di mana, permohonan pengampunan itu dibawa oleh menteri bukan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang. Kerana bagi saya pada prinsip kita setuju atau tidak dengan keputusan mahkamah atau dengan hak seseorang untuk merayu, tetapi kita tidak boleh nafikan hak untuk pendengaran dalam Lembaga Pengampunan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas