HANYA dengan bercucuk tanam sayur-sayuran secara hidroponik‚ seorang asnaf di Labuan mampu menarik nafas lega apabila berjaya memperolehi pendapatan ribuan ringgit sebulan sekali gus mengubah nasib keluarga.
Zulhafez Jindeh‚ 35‚ berkata dia yang sebelum ini hanya bekerja secara makan gaji mengakui pendapatan yang diperolehi sekitar RM1‚500 tidak mampu menampung perbelanjaan susulan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Bercerita lanjut kepada Wilayahku‚ Zulhafez berkata dia mula menceburi bidang pertanian setelah membuat keputusan untuk mengambil skim pemisahan sukarela (VSS) selepas lebih 10 tahun berkhidmat dengan sebuah syarikat minyak dan gas.
“Selepas itu‚ saya mengambil keputusan untuk menggunakan modal yang saya ada untuk memulakan bidang ternakan udang kara secara kecil-kecilan namun ketika itu negara dilanda wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan perniagaan saya terjejas teruk susulan masalah pengangkutan kerana kebanyakan pelanggan saya dari Sabah.
“Pada waktu itu‚ saya merasa gagal dan cuba untuk bangkit semula namun tidak berjaya‚” ujarnya mengakui peristiwa tersebut merupakan pengalaman yang tidak boleh dilupakan.
Meskipun ditimpa kejatuhan dalam bidang ternakan‚ namun dia bersyukur kerana semasa mengusahakan bidang tersebut dia juga aktif sebagai ahli Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Labuan.
Bermula daripada situ juga dia mendapat dorongan dan bimbingan untuk aktif dalam bidang pertanian.
Dia turut bersyukur dengan pelbagai bantuan yang diberikan oleh LPP antaranya menawarkan sebahagian tanah untuk mengusahakan tanaman berkonsepkan fertigasi.
“Pada tahun 2022‚ LPP telah menawarkan saya satu lot kawasan untuk memulakan tanaman secara fertigasi. Walaupun bermula dengan kosong tanpa sebarang pengalaman namun pihak LPP sentiasa memberikan tunjuk ajar dan panduan. Di situ saya memulakan tanaman sayur‚ cili dan buah-buahan sehingga ke hari ini‚” ujarnya ketika ditemui di Laman Hidroponik MAIWP Labuan‚ Kampung Sungai Bedaun.
Selain mengusahakan tanaman secara fertigasi‚ dia turut mengusahakan tanaman sayur salad secara hidroponik selepas menerima penawaran bantuan pertanian kepada golongan asnaf dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
“Usaha MAIWP untuk membantu mengeluarkan kami daripada kepompong asnaf berjaya sekali gus memberi peluang kepada saya berdiri sendiri tanpa mengharapkan bantuan bulanan semata-mata.
“Saya telah diberikan satu lot rumah hijau bernilai RM60‚000 iaitu merangkumi tapak‚ sistem‚ benih permulaan‚ baja dan juga kursus pengendalian tanaman hidroponik yang mula diusahakan pada Ogos 2023‚” ujarnya yang kini mampu menghasilkan lebih 2‚000 salad setiap bulan untuk dipasarkan di sekitar Labuan.
Tambahnya sehingga ke hari ini‚ dia menerima tempahan sayur salad daripada kedai makan khususnya mereka yang berniaga menu makanan ayam penyet dan burger. Alhamdullilah‚ permintaan terhadap sayur salad ini amat tinggi walaupun ianya hanya untuk sekitar Labuan sahaja.
“Untuk salad‚ saya hanya jual dengan kadar murah iaitu harga RM2 untuk setiap satu bekas. Bagi saya walaupun harga murah yang penting dapat membekalkan sayur yang sihat‚ berkualiti dan halal kepada masyarakat di pulau ini‚” ujarnya.
Menyentuh perancangan akan datang‚ Zulhafez berhasrat untuk mengembangkan bidang pertanian yang diceburi sekali gus mampu membekalkan sayur-sayuran yang segar kepada seluruh penduduk di pulau itu.
“Untuk mencapai hasrat itu‚ saya merancang menambah lagi lokasi tanaman yang bersesuaian agar dapat menghasilkan lebih banyak lagi sayur-sayuran terutamanya salad.
“Selain itu‚ besar harapan saya agar golongan muda khususnya menceburi bidang pertanian ini kerana ia amat berpotensi besar untuk berjaya memandangkan permintaan terhadap sumber makanan mentah tinggi‚” katanya.
Dengan hasil tanaman saladnya yang dipasarkan kepada beberapa buah restoran dan kedai sekitar pulau ini‚ dia dan isteri mampu memperolehi pendapatan mencecah ribuan ringgit sebulan.
“Saya dan keluarga bersyukur kerana ia lebih daripada cukup untuk menampung perbelanjaan seharian‚” ujarnya. – WILAYAHKU