Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Dua tanggal penting bulan Mei

- Diterbit 24 Mei 2024 11:00 AM MYT

ADA dua perisitiwa penting dalam kalendar persekolahan pada minggu akhir bulan Mei ini. Pertama, cuti pertengahan penggal satu sekolah yang bermula pada hari ini (24 Mei) hingga 1 Jun bagi kategori A (Johor, Kelantan, Kedah dan Terengganu). Bagi kategori B mulai esok hingga 2 Jun.

Kedua, pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Isnin 27 Mei. Seramai 395,870 calon yang menduduki peperiksaan di 3,340 buah pusat peperiksaan di seluruh negara akan mengetahui pencapaian masing-masing.

Kepada para pelajar dan guru diucapkan selamat bercuti. Kawan-kawan Kedai Kopi juga berharap semua calon SPM memperoleh kejayaan membanggakan. Namun apa juga keputusan wajar diterima dengan hati terbuka. Tentu setiap pelajar memahami prestasi diri masing-masing.

Yang memperoleh kejayaan cemerlang diucapkan tahniah. Peluang terbuka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi seperti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG), program diploma, matrikulasi atau memasuki tingkatan enam.

Kepada yang keputusan kurang memuaskan usah putus asa. Usia masih muda dan ada banyak peluang lain terbuka untuk memajukan diri dalam hidup asal rajin berusaha. Tidak cemerlang dalam akademik bukan bermakna tidak cemerlang dalam bidang lain. Rajin dan usaha tangga kejayaan.

Kepada yang bercuti sekolah, gunakan masa ini untuk berehat bersama keluarga. Pergilah makan angin ke mana-mana untuk meluaskan pemandangan. Setelah penat belajar perlu rehatkan minda. Namun jangan lupakan terus buku.

Pada minggu cuti sekolah ini juga berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) mulai hari ini (24 Mei) hingga 2 Jun. Berkunjunglah ke pesta ini yang mempamer dan menjual pelbagai kategori buku dari dalam dan luar negara. Pasti ada yang sesuai untuk diri dan keluarga. Rajin membaca menambah ilmu.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas