Berita

Dua tahun Kerajaan MADANI: Perkukuh ekonomi

ANWAR bertemu Blinken dalam Mesyuarat Dua Hala di antara Malaysia dan Setiausaha Negara AS.
- Diterbit 13 Disember 2024 4:29 PM MYT

“SIFIR yang selalu digunakan oleh para penganalisis politik untuk melihat kejayaan satu-satu pentadbiran baharu itu adalah 3, 6, 9 dan 12 bulan,” ujar Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Ts Nurul Aishah Ab Raman.

Katanya, Kerajaan Perpaduan membuktikan melepasi tempoh ‘kritikal’ tersebut dengan membawa satu kepimpinan yang transformatif, inklusif dan mampan.

“Sebagai tokoh reformasi yang sekian lama memperjuangkan perubahan sistemik yang mencerminkan prinsip keadilan, kesaksamaan dan kebebasan telah menggarap pentadbiran PMX yang berusaha memahami aspirasi rakyat dan menjadikan Malaysia sebagai contoh kepada dunia dalam kepimpinan berprinsip dan bervisi,” ujar beliau.

Menyorot kembali antara inisiatif kerajaan yang menjadi induk kepada dasar-dasar yang telah diluncurkan seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMK12) sudah mula merekodkan pencapaian baik selari dengan pertumbuhan ekonomi negara yang mencatat perkembangan positif.

“Malah pengukuhan ringgit dalam tempoh tujuh bulan kepada RM4.21 pada Oktober 2024 berbanding nilai dolar Amerika adalah bukti kerangka Ekonomi MADANI berjaya.

”Kesemua kejayaan  ini membuktikan kepimpinan Perdana Menteri Ke-10 adalah teguh, visi yang jelas serta kesungguhan dalam mengutamakan kepentingan negara,” ujar beliau.

Tambah Nurul Aishah, peranan aktif Malaysia dalam ASEAN-China menerusi inisiatif seperti Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) Malaysia-China yang akan memungkinkan Malaysia sebagai fasilitator utama dalam menghubungkan ASEAN.

“Selain itu pendekatan seimbang dalam konflik global dan memperbaiki hubungan dengan Negara-negara timur Tengah bukti kebijaksanaan PMX memainkan peranan dalam politik antarabangsa,” ujar beliau.

Kata beliau, dalam aspek nilai-nilai besar Madani (Daya Cipta), kerajaan menggalakkan inovasi teknologi dengan menarik pelaburan syarikat antarabangsa seperti Microsoft dan Amazon, menjadikan Malaysia hub teknologi serantau. .

Malaysia menyambut baik cadangan pelaburan berjumlah AS$14.7 bilion (AS$1=RM4.29) oleh syarikat gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) iaitu Google, Microsoft, Enovix Corporation, Amazon Web Services, Abbott Laboratories dan Boeing.

Terdahulu, Anwar bertemu Setiausaha Negara AS, Antony Blinken sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Nasional Vientiane. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas