Berita

Dua resolusi hak asasi rakyat Palestin diluluskan, Malaysia gesa ia dilaksanakan segera

- Diterbit 12 Disember 2024 10:04 AM MYT

MALAYSIA menggesa masyarakat antarabangsa untuk melaksanakan secara menyeluruh dua resolusi berkaitan hak asasi mutlak rakyat Palestin yang diluluskan semalam.

Menurut Wisma Putra, ia dipersetujui semasa sesi tergempar khas ke-10 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, Amerika Syarikat (AS).

Jelasnya, Malaysia juga menuntut agar resolusi berkenaan dilaksanakan dengan segera demi menegakkan hak asasi rakyat Palestin yang sekian lama dizalimi rejim zionis.

“Resolusi bertajuk ‘Demand for Ceasefire in Gaza’ menzahirkan gesaan sepadu oleh masyarakat antarabangsa untuk menamatkan keganasan, memastikan akauntabiliti dan mencapai keamanan serta kestabilan yang berkekalan di Gaza,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Wisma Putra menambah, resolusi bertajuk ‘Support for the Mandate of the United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East (UNRWA)’ pula mencerminkan sokongan tidak berbelah bahagi masyarakat antarabangsa terhadap peranan dan mandat agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tersebut.

Malah katanya, ia juga komitmen yang jelas untuk menentang sebarang percubaan melemahkan dan menamatkan operasi UNRWA.

“Malaysia mengalu-alukan dua resolusi berkenaan yang telah diluluskan itu. Gesaan kita agar ia dilaksanakan secara menyeluruh dan segera,” katanya.

Jelas Wisma Putra, Malaysia berpegang teguh dengan pendirian berprinsip dalam mendukung hak rakyat Palestin untuk membentuk sebuah negara merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas