Berita

Dua dasar utama diperkenal tetapkan hala tuju industri mineral

- Diterbit 22 November 2024 3:22 PM MYT

KEMENTERIAN Sumber Asli dan Kelestarian Alam telah menetapkan hala tuju industri mineral negara bagi tempoh 2021 hingga 2030 berteraskan pembangunan secara menyeluruh meliputi keseluruhan rantaian nilai dan pelaksanaan secara teratur dan efisien.

Menurut Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kementeriannya telah menetapkan beberapa strategi di bawah Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030) dan Dasar Mineral Negara 3 (DMN3).

“Dasar berkenaan bagi pembangunan keseluruhan rantaian nilai industri mineral danpenekanan terhadap konsep ekonomi kitaran atau circular economy.

“Ia juga sebagai galakan kepada penggiat industri untuk membangunkan konsep urban mining sebagai inisiatif Kerajaan untuk menggalakkan penggunaan mineral secara optimum dan mampan serta bertanggungjawab,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawap soalan Datuk Seri Sophia Anak Brodi (GPS- Sri Aman) semasa sesi jawapan lisan di parlimen.

Nik Nazmi berkata hutan juga merupakan antara sumber asli negara yang penting dimana pengusahasilan hutan masih diperlukan terutamanya untuk pembangunan ekonomi di negeri-negeri.

“Dalam hal ini, Kementerian melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Negeri terus komited dalam melaksanakan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB) yang memberikan penekanan terhadap keseimbangan aspek pemeliharaan dan pemuliharaan hutan serta fungsinya dalam pembangunan sosioekonomi di negeri-negeri,”katanya.

Tambah beliau, pengurusan hutan di Malaysia adalah berteraskan prinsip PHSB berpandukan kepada Dasar Perhutanan Malaysia yang selaras dengan komitmen negara terhadap ketetapan di bawah Forum Perhutanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations Forum on Forests – UNFF).

“Antara elemen utama yang diamalkan di bawah PHSB adalah Catuan Tebangan Tahunan (CTT), pembalakan berimpak rendah (Reduce Impact Logging – RIL), pematuhan Kriteria dan Petunjuk Bagi PHSB Malaysia (Malaysian Criteria and Indicator for Sustainable Forest Management – MC&I).

“Selain itu urus tadbir sektor perhutanan dikawal selia melalui Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] dan ordinan/enakmen perhutanan di negeri-negeri serta penggunaan kepelbagaian fungsi dan perkhidmatan ekosistem hutan melalui pembangunan ekopelancongan,”katanya.

Ujar beliau kerajaan sedar bahawa sumber asli adalah terhad dan perlu dikawal agar manfaatnya dapat dirasai untuk generasi akan datang.

“Secara keseluruhannya, kerajaan komited untuk memastikan pembangunan ekonomi berasaskan sumber asli dijalankan secara seimbang antara pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar termasuklah melalui perkembangan teknologi semasa dan kolaborasi dengan pelbagai pihak.

“Usaha-usaha ini penting bagi memastikan bahawa sumber-sumber ini dapat terus memberi manfaat kepada generasi akan datang, serta menyumbang kepada kemakmuran negara secara mampan,”katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas