Berita

Dua anggota polis nyaris maut dihanyut arus banjir

DUA anggota tersebut sedang berhenti untuk solat Zohor di Pondok Polis dan kemudian hujan telah turun dengan lebat serta ribut petir secara tiba-tiba.
- Diterbit 7 Mac 2022 10:56 AM MYT

DUA anggota polis yang membawa kenderaan peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields nyaris maut dihanyut arus ketika banjir kilat di Kuchai Lama, Kuala Lumpur petang tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Assisten Komisioner Polis (ACP) Amihizam Abdul Shukor berkata, dua anggota tersebut daripada cawangan MPV berhenti untuk solat Zohor di Pondok Polis berkenaan dan kemudian hujan telah turun dengan lebat serta ribut petir secara tiba-tiba.

“Anggota MPV tersebut telah berusaha untuk keluar dari tempat bencana namun tidak berjaya kerana terdapat halangan dari kenderaan-kenderaan lain yang turut sama terperangkap di tempat bencana.

“Paras air telah naik secara mendadak menenggelami paras tayar kereta. Anggota MPV tersebut telah keluar dari kenderaan untuk menyelamatkan diri kerana kenderaan mula dihanyutkan oleh arus air banjir yang deras,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amihizam berkata, kedua-dua anggota tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah memaklumkan kejadian pada Pusat Kawalan IPD Brickfields untuk tindakan selanjutnya.

Justeru itu, beliau menyeru kepada semua agar berhati-hati memandu kenderaan masing-masing terutama semasa musim hujan.

“Patuhi undang-undang jalan raya serta mengikut arahan pihak Polis sekiranya terdapat lencongan atau penutupan jalan dibuat,” katanya.

Sebelum ini, satu video berdurasi 30 saat memaparkan kenderaan peronda polis dihanyutkan arus ekoran hujan lebat berterusan sejak pukul 3.00 petang tadi sehingga menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur ditenggalami air. -WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas