KOMITMEN Malaysia dalam memartabatkan tadbir urus berintegriti dan berfokus rakyat menerima pengiktirafan antarabangsa apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, diumumkan sebagai penerima 3G Leadership Award for Government Sector (Individual) 2025 dalam majlis berprestij Global Good Governance Awards 2025 (Anugerah 3G) yang berlangsung di Brunei Darussalam, hari ini.
Menurut Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), anugerah berkenaan merupakan antara pengiktirafan tertinggi yang dianjurkan oleh Cambridge IFA, dan diberikan berdasarkan penilaian profesional terhadap kepimpinan Dr. Zaliha dalam memperkukuh amalan tadbir urus inklusif dan progresif di Wilayah Persekutuan.
“Ini bukan sahaja pengiktirafan peribadi, tetapi cerminan usaha berterusan Malaysia dalam meletakkan nilai MADANI sebagai teras dalam mentadbir bandar raya dan komuniti,” kata kenyataan itu hari ini.
Majlis penyampaian anugerah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Brunei Darussalam, Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza Mohd Yunos, serta disaksikan oleh Pengerusi Cambridge IFA, Profesor Dr. Humayon Dar.
Menurut JWP, sebanyak 19 penerima dari 15 negara diraikan dalam sidang anugerah kali ke-10 ini yang turut menghimpunkan pemimpin sektor awam dan korporat global termasuk syarikat gergasi seperti Petronas Dagangan Berhad dan Kastam Dubai.
“Penganugerahan ini adalah sebahagian daripada Sidang Kemuncak Tadbir Urus Baik Global 2025 yang turut dianjurkan dengan kerjasama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), dengan tema “Transformative Governance for Health, Environment and Community Sustainability”.
“Anugerah 3G menilai berdasarkan kriteria impak, ketelusan, inovasi dan tanggungjawab sosial, menjadikannya antara standard antarabangsa dalam mengiktiraf individu serta organisasi yang memacu tadbir urus progresif dan beretika,”katanya.
Menurut JWP, pengiktirafan tersebut akan menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam memperkukuh reformasi pentadbiran awam dan inovasi teknologi yang berpaksikan rakyat.
“Wilayah Persekutuan akan terus memacu tata kelola yang telus, lestari dan inklusif selaras dengan aspirasi Malaysia sebagai negara contoh dalam pengurusan bandar dan komuniti masa depan,” katanya kenyataan itu.-WILAYAHKU