Berita

DPIM Putrajaya, Lokalities Group jalin kerjasama perkasa usahawan kiosk tempatan

- Diterbit 29 Mei 2025 9:30 PM MYT

DEMI memperkukuh ekosistem keusahawanan makanan dan minuman tempatan, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Putrajaya telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Lokalities Group Sdn Bhd yang sebelum ini dikenali sebagai F Bros Holdings Sdn. Bhd, syarikat pemilik jenama Lokalities Food.

Majlis menandatangani perjanjian kerjasama ini disempurnakan oleh Pengerusi DPIM Putrajaya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin dan Pengerusi Lokalities Group Sdn Bhd, Khairul Rizam Othman yang juga merupakan pengasas jenama Lokalities Food.

MAJLIS menandatangani MoU di antara DPIM Putrajaya dan Lokalities Group Sdn Bhd.

Menurut Muhamad Khanafi, kerjasama ini dilihat sebagai pemangkin kepada pembangunan jangka panjang usahawan kecil dalam sektor makanan dan minuman. Ia merupakan pendekatan model kiosk yang ditawarkan bersifat praktikal serta berpotensi tinggi dari segi pulangan.

“Program pembangunan kiosk ini memberi peluang kepada usahawan untuk menjana keuntungan secara pantas dan pada masa sama, mewujudkan kelangsungan perniagaan dalam jangka panjang.

“Melalui program Rent to Own yang dibangunkan oleh Lokalities Group, usahawan hanya perlu mengeluarkan modal sebanyak 40% dan mampu memiliki kiosk sendiri dalam tempoh 12 bulan,” katanya.

PENGERUSI Lokalities Group, Khairul Rizam Othman ( kiri) bertukar dokumen MoU dengan Setiausaha DPIM Putrajaya, Hadi Pilus (kanan) , disaksikan oleh Pengerusi DPIM Putrajaya, Dato’ Seri Muhammad Khanafi Husin (dua dari kiri) dan Timbalan Pengerusi, Dato’ Khairul Shahril Hamzah ( dua dari kanan) di Bandar Baru Bangi baru- baru ini.

Sementara itu, Khairul Rizam menjelaskan, Lokalities Food diperkenalkan khusus untuk membantu usahawan Bumiputera menembusi industri makanan dengan sokongan sistematik.

Konsep mereka membawa sentral kitchen ke jalanan melalui kiosk bergerak, menawarkan makanan sedia dimasak secara panggang, kukus dan goreng lengkap dengan pensijilan Halal, MeSTI dan GMP.

“Pakej kiosk ditawarkan serendah RM10,000 namun bagi yang tidak mampu, mereka boleh menyertai program latihan dengan bekerja bersama kami selama enam bulan dan menerima gaji RM2,500 sebulan.

“Selepas itu, mereka boleh memilih untuk memiliki kiosk sendiri dengan pengalaman yang telah dikumpul,” ujarnya.

Selain jualan harian, usahawan turut berpeluang menjana pendapatan tambahan melalui produk Party Pack, pakej makanan sedia dihidang yang direka khas untuk majlis keraian, pejabat dan mesyuarat dengan harga antara RM50 hingga RM100 sekotak.

“Party Pack kami diinspirasikan daripada model makanan segera antarabangsa tetapi dengan sentuhan tempatan dan harga berpatutan. Kami mahu bantu usahawan bertahan dalam pasaran yang mencabar ini,” katanya.

Setakat ini, operasi Lokalities Food di Shah Alam menunjukkan sambutan positif dan syarikat mensasarkan pembukaan 150 kiosk menjelang 2025 serta 1,500 kiosk dalam masa tiga tahun.

Melalui sasaran melahirkan 1,000 usahawan dan menjana nilai pasaran sekitar RM500 juta, Lokalities Group berharap dapat menyumbang semula kepada masyarakat melalui pembayaran zakat dan sumbangan wakaf yang lebih besar. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas