Biz

DPIM Putrajaya anjur karnival luaskan perniagaan

PENGERUSI DPIM Putrajaya, Muhammad Khanafi Husin menyampaikan ucapan sempena Karnival Usahawan dan AGM ke-18 di Cyberjaya baru-baru ini.
- Diterbit 5 November 2023 2:00 AM MYT

USAHAWAN kini lebih berpeluang meluaskan pasaran produk perniagaan sehingga ke luar negara jika bijak merebut peluang di samping sentiasa memastikan kesihatan fizikal dan mental dalam keadaan baik dan  seimbang.

Pengerusi DPIM (Dewan Perniagaan Islam Malaysia) Putrajaya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin, berkata para usahawan digalakkan untuk terus mengembangkan perniagaan yang dibina.

“Berusaha mengembangkan perniagaan sangat digalakkan kerana pelbagai pihak termasuk agensi telah tampil  menerokai pasaran luar dan mengajak usahawan menyertai mereka untuk disesuaikan dengan perniagaan masing-masing.

“Bagaimana  keseimbangan fizikal dan mental juga penting, kerana apabila tubuh dan minda sihat, lebih banyak kejayaan mampu dicapai,” katanya.

PENGERUSI DPIM Putrajaya, Muhammad Khanafi Husin menyampaikan ucapan sempena Karnival Usahawan dan AGM ke-18 di Cyberjaya baru-baru ini.

Beliau berkata demikian dalam majlis perasmian Karnival Usahawan anjuran DPIM Putrajaya dengan kerjasama Malakat Mall di sini pada 28 dan 28 Okt yang lalu, sempena Mesyuarat Agong Tahunan (AGM) yang ke-18.

Hadir sama,  Timbalan Pengerusi, Datuk Khairul Shahril Hamzah, Naib Pengerusi, Jamal Hisham Jermi, Pengerusi Cyberview Sdn Bhd, Datuk Romli Ishak dan Pengasas Malakat Mall, Coach Fadzil Hashim.

Khanafi yang juga Pengerusi DPIM Putrajaya menambah, oleh kerana pihaknya sentiasa peka dengan situasi semasa, sepanjang karnival usahawan ditawarkan membuka gerai dan mempromosikan perniagaan masing-masing.

Apa yang lebih  penting pengisiannya padat dengan pelbagai acara bermanfaat.

“Walaupun AGM namun pihak DPIM mahu mengajak ahli dan usahawan lain berpeluang memperolehi pelbagai informasi berkaitan  mengembangkan perniagaan melalui acara pentas.

“Selama dua hari, kami bawakan tokoh usahawan yang mempunyai jenama dan kepakaran  dalam bidang perniagaan mereka untuk  berkongsi pelbagai ilmu dan peluang.

“Misalnya pemberitahuan mengenai geran pensijilan halal dariJabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui MARA, taklimat geran SME Corp, geran daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta peluang mengeskport produk ke Pattani, Thailand kerana sudah ada usahawan tempatan yang berjaya membuka pasaraya di sana,” ujarnya.

ORANG ramai yang menghadiri Karnival Usahawan dan AGM ke-18 di MALAKAT Mall, Cyberjaya baru-baru ini.

Tambahnya, menerusi  acara pentas turut menampilkan taklimat berkaitan kelebihan transaksi pembayaran atas talian oleh syarikat Toyyibpay.

“Usahawan mesti keluar daripada zon selesa dan rebut peluang kerana  mereka tidak akan dibiarkan bersendirian,  sebaliknya akan dibimbing, diberikan kursus berterusan supaya perniagaan terus berkembang.

“Contohnya geran daripada KKDW adalah kesinambungan Program Usahawan Inkubator Malaysia Madani yang dilancarkan  tiga bulan lalu. Kini DPIM turut giat menjelajah seluruh negara untuk menyebar luas maklumat berkaitan supaya sampai ke kumpulan sasaran.

“Program ini bertujuan mewujudkan lebih ramai penglibatan warga luar bandar daripada golongan B40 bergelar usahawan dan para peserta akan menghadiri bengkel berbentuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) iaitu  proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri.

“Melalui program tersebut dijangka, sebaik menamatkan latihan, para peserta sudah boleh menjana pendapatan sendiri. Agenda ini selari dengan DPIM yang sentiasa memastikan ahlinya mampu berdiri atas keupayaan sendiri dan prihatin dengan pelbagai peluang untuk terus berjaya sebagai usahawan,” katanya.

Di samping itu katanya, karnival yang berlangsung pada hari ke dua diisi dengan pertandingan mewarna di kalangan kanak-kanak di samping menjemput penceramah yang fokus kepada tuntutan mental dan kerohanian.

“Program turut menampilkan isu-isu berkaitan memulihkan semangat dan membakar kembali keazaman yang hakikatnya, sebagai  manusia kita  sentiasa diduga tetapi bangkitlah kembali dengan lebih kuat dan bersemangat.

“Misalnya di bawah tajuk, Sekental Jiwa Usahawan oleh Mejar (B) Muhammad Qayyum BA Badaruddin mengajak usahawan jangan sesekali berputus asa walaupun diuji dengan pelbagai masalah.

“Manakala di bawah tajuk   Hidup Sihat Tanpa Tekanan  mengajak orang ramai mengendalikan emosi dengan bijak dan keluar daripada lingkungan negatif .

“Bawah tajuk Magnetkan Rezeki Bisnes pula, usahawan diberikan  jalan keluar  mengembalikan semula daripada kebuntuan dan permasalahan ke atas landasan yang betul untuk mengatasinya,” katanya.

Sehubungan dengan itu katanya,  pada masa akan datang pihaknya bercadang menambah bilangan program dan karnival seumpamanya agar mampu dimanfaatkan lebih ramai pihak.

“Berdasarkan sambutan yang menggalakkan sepanjang karnival berlangsung, DPIM akan menambah baik pengisian terutama peluang menjana pendapatan melalui agensi yang dibawa, disamping aktiviti yang melibatkan lebih ramai ahli. Oleh itu kami mengalu-alukan orang ramai  untuk mendaftar sebagai ahli DPIM Putrajaya dengan menghubungi talian 013-2286769 (Sartika). – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas