JABATAN Perikanan Malaysia (DOF) terus mengorak langkah dalam memperkasa usahawan Industri Asas Tani (IAT) perikanan melalui Program myAgropreneur (myAP) dengan pencapaian memberangsangkan dalam tempoh 2021 hingga 2024.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, sepanjang tempoh tersebut, seramai 138 usahawan myAP telah terlibat dalam pengeluaran produk perikanan sejuk beku di seluruh negara, dengan nilai ekonomi mencecah RM38 juta.
“Secara keseluruhan, sektor pemprosesan dan pengeluaran produk perikanan di Malaysia menunjukkan pertumbuhan positif dengan rekod seramai 667 usahawan aktif pada tahun 2024, menghasilkan nilai ekonomi sebanyak RM64 juta.
“Peningkatan ini mencerminkan peranan penting industri pemprosesan perikanan dalam menyokong pembangunan ekonomi negara serta memperkukuh rantaian nilai perikanan tempatan,” ujar beliau dalam kenyataan.

Tambah beliau, bagi memperluaskan pasaran produk sejuk beku ini, DOF turut menyokong pelancaran Perkhidmatan Logistik Ninja Cold dari Ninja Van Malaysia dalam memastikan penghantaran yang efisien, sekali gus mengekalkan kesegaran dan kualiti produk usahawan IAT.
“Inisiatif ini memberi kelebihan kepada usahawan dalam mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran yang lebih luas dengan sistem pengangkutan yang lebih cekap dan terkawal.
“DOF komited untuk terus menyokong pertumbuhan usahawan IAT perikanan menerusi pelbagai inisiatif strategik, termasuk peningkatan kapasiti, latihan teknikal serta akses kepada pasaran yang lebih luas,” katanya. – WILAYAHKU