PELBAGAI kritikan dilemparkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejurus membentangkan Belanjawan 2025 baru-baru ini.
Biarpun jelas menunjukkan Kerajaan MADANI memberi fokus terhadap isu kos sara hidup rakyat pendek kata belanjawan yang mesra rakyat namun masih terdapat pihak yang menutup mata.
Malah semakin galak mendakwa kerajaan tidak menghiraukan tentang kenaikan harga barang selain menuduh Anwar seolah-olah lari daripada memikirkan kesusahan rakyat.
Sebelum menghentam rasanya mereka perlu meneliti lebih lanjut pembentangan bajet baru-baru ini di mana PMX dengan beraninya menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sekali gus mencerminkan tekad politik Kerajaan Perpaduan yang jelas.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menyifatkan tindakan menaikkan kadar baharu itu juga sebagai berani, kerana tiada sebarang keputusan dapat dicapai sekiranya hanya menunggu kata putus daripada pihak syarikat.
“Kalau saya tanya syarikat, tidak akan ada keputusan, mustahil dapat keputusan. Jadi saya bincang dengan kawan-kawan Jemaah Menteri, prestasi negara amat baik, pelaburan yang masuk cukup memberangsangkan dan sebuah negara yang makmur tidak boleh ada layanan sebegini kepada pekerja kita.
“Kita naik (gaji minimum) dari RM1,500 kepada RM1,700,” katanya dalam majlis pelancaran pembangunan perumahan Residensi MADANI Putrajaya baru-baru ini.
Beliau berharap supaya semua syarikat dapat memberi kerjasama dalam pelaksanaan kadar baharu gaji minimum yang akan berkuat kuasa 1 Februari tahun depan.
Kerajaan turut memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.
Itulah antara keprihatinan yang ditunjukkan PMX kepada rakyat.
Bukan itu sahaja, mengenai pelarasan gaji penjawat awam 15 peratus kepada kumpulan pelaksana dalam Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bermula 1 Disember depan, Anwar berkata para penjawat awam perlu lebih bertanggungjawab terhadap kerja masing-masing.
Beliau berkata pelarasan gaji penjawat awam itu akan menyaksikan peningkatan kos gaji lebih RM10 bilion.
Selain itu, beliau turut menyentuh mengenai tindakan beberapa pihak yang mempersoal bahawa Belanjawan 2025 tidak mempunyai projek mega atau mercu tanda hebat.
“Bagi saya projek mega adalah perumahan rakyat, warung, gerai, mutu kemudahan sekolah dan kesihatan yang baik. Semua pihak perlu mengubah cara pemikiran dengan membuat anjakan mengenai kerangka ekonomi daripada sudut pemacuan pertumbuhan yang segar dan rancak,” katanya. – WILAYAHKU