TUDUHAN biadap apabila terdapat sesetengah netizen mendakwa kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengikut telunjuk Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, yang mewakili kaum Cina.
Ini adalah susulan cadangan Chow untuk memecahkan portfolio menteri hal ehwal agama bagi mewujudkan suatu portfolio untuk hal ehwal bukan Islam.
Jangan cepat buat tuduhan. Ini kerana cadangan tersebut tidak dipersetujui oleh jemaah Menteri.
Anwar berkata, cadangan Chow di Dewan Rakyat tempoh hari adalah ‘suara peribadi’.
“Tidak dipersetujui oleh mana-mana dalam kerajaan, apa lagi dalam jemaah Menteri,” katanya kepada pemberita di Masjid As-Salam, Puchong, seusai solat Jumaat, baru-baru ini.
Cadangan memecahkan portfolio menteri di Jabatan Perdana Menteri ini menyusuli kontroversi cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri majlis perayaan orang bukan Islam.
Chow mengajukan saranan itu di Dewan Rakyat pada Rabu, ketika membahaskan titah diraja.
Menyeru Kerajaan Persekutuan mencontohi beberapa kerajaan negeri yang mempunyai exco hal ehwal bukan Islam, beliau percaya menteri hal ehwal agama Islam dan bukan Islam akan dapat berkomunikasi secara mendalam bagi mengelakkan sebarang kontroversi, selain memastikan pengurusan agama yang adil.
Cadangan tersebut bagaimanapun dikritik oleh pemimpin-pemimpin Umno, Amanah dan KEADILAN yang merupakan parti pemerintah.
Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) juga menyifatkan pendirian Anwar serta jemaah Menteri berhubung perkara itu adalah tepat.
Bagaimanapun beliau berkata, terdapat keperluan bagi mewujudkan garis panduan tertentu demi memastikan akidah umat Islam sentiasa terpelihara.
“Sememangnya ada keperluan besar, jika tidak untuk diri saya, mungkin juga diperlukan oleh pegawai saya untuk membuat susun atur dan sebagainya.
“Saya bukan mahu memandang rendah mengenai akidah umat Islam di negara ini. Namun saya berpandangan, menerusi garis panduan ini, kefahaman umat Islam mengenai agama lain akan lebih jelas serta memperkukuhkan lagi hubungan antara kaum di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih atas Titah Diraja di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Sementara itu, Mohd Isam menyifatkan gesaan segelintir wakil kerajaan supaya akta antidiskriminasi kaum digubal tidak bermakna jika terdapat pihak yang tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, penggubalan apa-apa akta berkaitan antidiskriminasi juga tidak akan mencapai matlamat sekiranya Islam sebagai agama Persekutuan tidak dihormati.
“Apa gunanya penggubalan akta antidiskriminasi kaum sekiranya kamu sendiri (Ahli Parlimen) gagal untuk menghormati dan mengiktiraf Perlembagaan yang meletakkan kedudukan istimewa orang Melayu serta Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.
Terdahulu, kerajaan dilaporkan memaklumkan tiada keperluan untuk menggubal atau memperkenalkan undang-undang baharu seperti akta antidiskriminasi kaum ketika ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, dilaporkan berkata peningkatan aktiviti penguatkuasaan undang-undang sedia ada sudah memadai bagi memastikan hubungan antara kaum sentiasa terpelihara. – WILAYAHKU