KEPUTUSAN kerajaan memberikan diskaun tol 50 peratus sempena Tahun Baru Cina merupakan satu inisiatif untuk menyemarakkan lagi perpaduan kaum di negara ini.
Menurut Penganalisis politik, Dr Syed Agil Alsagoff, kerajaan sanggup membelanjakan RM20.08 juta sebagai tujuan pemberian diskaun semata-mata untuk melihat bahawa semarak perpaduan itu akan lebih terjalin.
“Langkah ini bukan sahaja dapat dirasai oleh kaum Cina tetapi semua kaum di negara kita serta secara tidak langsung akan memberikan kebaikan kepada seluruh masyarakat di negara ini untuk sama sama meraikan sambutan perayaan kaum masing-masing.
“Diharapkan rakyat dapat menggunakan inisiatif ini dengan cara baik iaitu merancang perjalanan supaya tidak berlaku kemalangan, kesesakan luar jangka di plaza-plaza tol dan sebagainya,” ujar beliau kepada Wilayahku.
Pemberian diskaun tersebut jelas membuktikan kedudukan kewangan di bawah Kerajaan MADANI semakin kukuh hasil penyasaran subsidi diesel, elektrik selain banyak pelaburan baharu dari negara luar yang berjaya di bawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia terbukti di mana pada tahun 2023, Malaysia berjaya meraih pelaburan berjumlah RM329.5 bilion sekali gus merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah negara.
“Semua pihak harus memberi sokongan kepada langkah penjimatan kerajaan supaya lebih banyak perbelanjaan dapat disasarkan kepada golongan yang memerlukan antaranya dalam bidang pendidikan, keusahawanan dan sebagainya.
“Bagi saya ini merupakan satu langkah hebat oleh kerajaan dalam usaha untuk memberi ganjaran kepada golongan bersasar dan kita akan lihat pada masa akan datang mekanisme serupa mungkin akan diberikan kepada golongan sasaran untuk pakej-pakej tertentu atau subsidi yang telah ditentukan kerajaan kepada golongan tersebut,” ujar beliau.
Terdahulu, mesyuarat Kabinet bersetuju memberikan potongan tol 50% sempena Tahun Baru Cina bermula 12.01 tengah malam pada 27 Januari iaitu Isnin dan berakhir 11.59 malam 28 Januari. – WILAYAHKU