TEMPOH pengurangan kompaun saman Polis Trafik sebanyak 80 peratus bersempena dengan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang sepatutnya berakhir hari ini dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.
Mengumumkan mengenai perkata itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, keputusan itu dibuat bagi memberikan peluang kepada orang ramai yang ingin menyelesaikan kes-kes trafik dan membantu mengurangkan kesan impak ekonomi kepada masyarakat.
“PDRM telah memutuskan untuk beri peluang kepada seluruh rakyat untuk menyelesaikan saman mereka dengan diskaun yang sama sehingga 31 Disember ini.
“Keputusan itu dapat memberikan masa agar orang ramai tidak berkerumun dan menyerbu serta dapat mengurangkan kesesakan di kaunter-kaunter trafik di seluruh negara,” katanya dalam sidang media selepas meninjau keadaan di Program Aspirasi 100 Hari Keluarga Malaysia di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Komosioner Polis (CP) Datuk Hazani Ghazali.
Beliau turut mendapat laporan terhadap kesulitan yang dihadapi orang ramai untuk membuat capaian di aplikasi pembayaran saman yang disebabkan bilangan trafik ke aplikasi tersebut terlalu ramai dan berlaku kesesakan sehingga tidak dapat diakses.
“Saya sarankan kepada orang ramai untuk pergi ke cawangan trafik di IPD seluruh negara memandangkan tidak ada isu kerana ia terus ke pangkalan data di Bukit Aman.
“Saya harap dengan sedikit inisiatif ini, kita dapat kurangkan sedikit beban kepada semua masyarakat dan pada masa sama, kita dapat kurangkan jumlah saman yang tertunggak di dalam pengkalan data Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.
Saya akan arahkan Pengarah Trafik untuk melihat sekiranya sesuatu daerah berlaku kesesakan yang mungkin disebabkan bilangan pengunjung yang ramai atau kaunter yang terhad, kita akan usahakan menambah kaunter,” katanya.
Sementara itu, Acryl turut memberitahu bahawa sehingga tengah hari ini sebanyak 2.3 juta saman telah berjaya diselesaikan dengan kutipan sebanyak RM100.9 juta. – WILAYAHKU