Selebriti

Dilantik sebagai wajah Malakat Mall, Yassin bantu peniaga tempatan

WAJAH Malakat Mall, Yassin Senario (kiri) mendapat sokongan artis popular Ifa Raziah
- Diterbit 7 April 2023 5:23 AM MYT

BERSEMPENA bulan Ramadan yang mulia ini, hasrat murni artis serba boleh Yassin Senario untuk membantu peniaga tempatan akhirnya tercapai apabila beliau dilantik sebagai wajah pasar raya Malakat Mall, Cyberjaya.

Yassin atau nama sebenarnya Yassin Yahya, 44, berkata, peranannya adalah untuk mempromosi Malakat Mall sekaligus membantu para peniaga yang membuka booth jualan sempena hari raya yang bakal disambut tidak lama lagi.

“Apa yang saya tahu, Malakat Mall ini mula beroperasi tiga hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2019 disebabkan pandemik COVID-19. Kiranya tak sempat diperkenalkan secara meluas.

“Apabila diberi tawarkan menjadi wajah Malakat Mall beberapa hari sebelum Ramadan, saya terus terima memandangkan ia turut melibatkan kerja amal.

“Saya sedar, bukan mudah mengajak orang ramai membeli belah di sini tetapi saya tetap buat yang terbaik.

“Apabila diberi kepercayaan, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk memperkenalkan lagi tempat ini dan melunaskan apa yang telah dipersetui.

“Kelebihan yang saya ada adalah mempunyai ramai kenalan artis di mana saya meminta kerjasama mereka untuk membuat video dan promosi Malakat Mall,” jelasnya yang ditemui pada majlis berbuka bersama anak-anak yatim dan tahfiz dari Pusat Jagaan Kasih Murni, Keramat
Akedemi Tahfiz Al-Hidayah, Kuala Lumpur dan Pertubuhan Warisan Suci (PWS), Kajang, Selangor.

Majlis amal anjuran  Mawar Grandeur ini turut ditaja oleh butik terkenal, Nana Bridal Kuala Lumpur.

PERANAN Yassin sebagai wajah Malakat Mall turut disokong oleh Ifa Raziah.

Yassin akui rasa bertuah apabila perancangan untuk mempromosi Malakat Mall dipermudah dan disokong rakan-rakan artis.

“Misalnya acara berbuka puasa bersama anak-anak yatim saya mendapat sokongan daripada Ifa Raziah sebagai pengacara untuk majlis tersebut.

“Ramai yang tahu, Ifa sekarang sedang sibuk menguruskan persiapan Festival Hari Raya Starvendor, namun beliau tetap meluangkan masa menyokong saya dan Malakat Mall.

“Dalam masa yang sama, saya membawa artis-artis untuk berniaga di Malakat Mall seperti Zahid AF, Shahshi dan ramai lagi sempena Malakat Raya Fest.

“Para selebriti ini mempunyai booth sendiri menjual barangan yang berkaitan hari raya seperti baju, tudung, biskut raya dan sebagainya.

“Peminat bolehlah ambil peluang ini bertemu dan sokong jualan mereka di sini. Ini sekaligus sebenarnya mempromosi booth-booth peniaga tempatan lain yang ada di situ.

“Saya sendiri turun padang bertemu dengan mereka dan mempromosikan booth mereka dalam media sosial,” ujarnya.

IFA Raziah (Kanan) percaya kemampuan Yassin menaikkan nama Malakat Mall

Bukan sahaja sebagai wajah, Yassin juga turut turun padang buka booth jualan.

“Saya sendiri jual pomade dan pencuci 3 in 1 yang boleh digunakan untuk rambut, badan dan muka. Kiranya pencuci serba guna dan sesuai untuk lelaki dan perempuan.

“Saya percaya, setiap artis ini mempunyai kekuatan masing-masing untuk menarik lebih ramai orang datang membeli belah di Malakat Mall.

“Pengaruh mereka sedikit sebanyak memberi laluan kepada peniaga-peniaga lain untuk menjana pendapatan. Kita semua saling menyokong antara satu sama lain,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas