TULAR dalam media sosial kononnya Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hanya berlakon sedih apabila bercakap tentang Palestin dalam persidangan di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Malah, ada yang turut mengkritik Fadhlina dan berkata dia tidak perlu berlakon atas nama Palestin.
Bukan itu sahaja, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyuarakan kekecewaannya terhadap perkara itu.
“Tak perlu tampilkan emosi yang tak perlu di Dewan (Rakyat). Apa yang kita nak tanya (berkenaan) tak boleh takbir dan qunut nazilah di sekolah.
“Pada kami, ia ungkapan yang boleh diungkapkan seorang Muslim pada bila-bila masa. Perdana Menteri juga mengungkapkannya ketika himpunan solidariti di Stadium Axiata Arena sebelum ini,” kata Fadhli.
Walaupun dihentam bertalu-talu namun apabila disentuh soal serius atau tidak dalam memperjuangkan nasib Palestin, Fadhlina menerusi kementeriannya membuktikan komitmen serta peranannya dalam membantu rakyat Palestin.
Malah, beliau turut mendapat pujian ramai apabila Himpunan Solidariti Keamanan Sejagat anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjaya mengutip sejumlah RM9.2 juta.
Kutipan itu diperoleh sepanjang Minggu Solidariti Palestin bermula pada 29 Oktober sehingga 3 November lalu dan melibatkan penyertaan ribuan institusi pendidikan di bawah KPM seluruh negara.
Ketua Setiausaha KPM, Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi juga telah menyerahkan cek replika kepada Fadhlina semasa acara kemuncak dan penutup program yang berlangsung di Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, baru-baru ini.
Nampaknya Fadhlina sudah pun menunjukkan usahanya untuk bersama-sama membantu rakyat Palestin di bumi Gaza. Rasanya, dalam waktu sekarang eloklah jika semua bertenang dan jangan suka menyalahkan antara satu sama lain. – WILAYAHKU